Dec 22, 2008

Hukum Khitan Bagi Bayi Perempuan

Assalamualaikum,

Di sini saya ingin meminta penjelasan daripada pihak al-ahkam tentang hukum berkhatan bagi bayi perempuan yang telah menjadi amalan bagi masyarakat melayu di malaysia.

Sekian Terima Kasih

*******************
وعليكم السلام و رحمة الله وبركاتهم
{ بسم الله الرحمن الرحيم }
(( رب إشرح لي صدري و يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي ))

***********************
Alhamdulillah, Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin, para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.

Terima Kasih di atas soalan saudari tersebut . Alhamdulillah , berikut ini adalah jawapan-jawapannya:

APAKAH “KHITAN“ ITU?:

Bersunat = Berkhatan = Khitan ( ختان ) = Circumcision

Khitan ertinya memotong . Mengikut istilah Ilmu Fiqh , khitan ialah memotong kulit ( Qulfah @ Qalafah / قلفة )yang menutupi kepala zakar ( Hasyafah / حشفة) seseorang lelaki . Manakala bagi seorang wanita pula , khitan ialah dengan cara memotong sedikit daging di hujung kelintit (نواة @ بظر / Clitoris ) , yang berada di sebelah atas lubang farajnya ( vagina). Proses khitan bagi seseorang wanita dikenali di dalam istilah Fiqh sebagai “ Al-Khifadh : الخفاض “.

SEJARAH RINGKAS MENGENAI KHITAN:

Ianya merupakan tradisi yang telah lama dilaksanakan semenjak sebelum kedatangan Nabi Muhammad s.a.w lagi. Menurut beberapa catatan sejarah dunia, ada pendapat yag mengatakan ianya berlaku semenjak zaman Baginda Nabi Ibrahim a.s lagi. Dan ada pula yang mengatakan ianya merupakan tradisi masyarakat Arab sebelum Islam lagi, dan tok mudim yang terkenal di era-sebelum Islam itu bernama “Ummu Anmar“ ~ sebagaimana menurut catatan Imam Al-Bukhari (rh) di dalam sahihnya. Tradisi ini terus terlaksana apabila datangnya Baginda Rasulullah s.a.w dan diakui pula oleh Islam sebagai salah-satu tuntutan agama.

HUKUM MENGENAI KHITAN:

Tuntutan mengenai khitan ini jelas disebutkan sendiri oleh Baginda Rasulullah s.a.w melalui hadisnya:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْفِطْرَةُ خَمْسٌ أَوْ خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ الْخِتَانُ وَالِاسْتِحْدَادُ وَتَقْلِيمُ الْأَظْفَارِ وَنَتْفُ الْإِبِطِ وَقَصُّ الشَّارِبِ

Ertinya: Dari Abu Hurairah r.a tatkala beliau meriwayatkan hadis mengenai 5 tuntutan fitrah iaitu: (1)- Bersunat (khitan), (2)- Menucukur @ Membuang bulu-bulu di sekitar kemaluan, (3)- Mengerat kuku, (4)- Mencabut @ Membuang bulu-bulu ketiak, dan (5) – Mengerat @ Mengemaskan misai ~ Hadis Sahih diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari rh & Imam Muslim rh.

Khitan ini merupakan salah-satu daripada “Sunan Al-Fitrah“ (Tuntutan Fitrah Semulajadi Seseorang Manusia), samalah dengan tuntutan bersugi (memberus gigi), memotong kuku, memotong bulu di bahagian kemaluan dan ketiak, mengemaskan misai, memelihara janggut, beristinjak (membersihkan kemaluan daripada kekotoran najis) , anggota-anggota pelipat di tubuh badan kita (sendi-sendi) dan memelihara rambut. ~ Lihat: USUL MU’ASYARAH AZ-ZAUJIYAH, ms207, oleh Syeikh Muhd Ahmad Kan’an. Terbitan: Darul Basyair Al-Islamiah, Beirut.

Akan tetapi ulama’ telah berbeza pendapat mengenai TUNTUTAN itu , adakah ianya bermakna wajib ataupun sunat?. Dan berikut ini adalah beberapa pandangan ulama’ dan dalil-dalil bagi setiap pandangan mereka:

MAZHAB IMAM ASY-SYAFI’E (RH) dan MAJORITI ULAMA‘:

- Ianya adalah wajib bagi lelaki, mahupun perempuan yang beragama Islam.

- Dalilnya ialah Firman Allah Ta’ala yang mewajibkan umat Islam mengikuti contoh-teladan daripada Datuk Para Nabi a.s., iaitu Baginda Nabi Ibrahim a.s:

ثُمَّ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ أَنِ اتَّبِعْ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Ertinya: “Kemudian Kami wahyukan kepada engkau (hendaklah) engkau mengikuti agama Ibrahim yang lurus, dan tidaklah dia (Ibrahim) itu daripada golongan musyrikin“ ~ Surah An-Nahl, Ayat 127 .

- Dalil daripada Hadis Rasulullah s.a.w pula ialah perintahnya kepada mereka yang baru memeluk Islam dengan sabdanya:

أَلْقِ عَنْكَ شَعْرَ الْكُفْرِ وَاخْتَتِنْ

Ertinya: “Buangkanlah rambutmu (yang menjadi tanda kekafiranmu sebelum ini) dan berkhitanlah (bersunatlah)“ ~ Hadis Sahih riwayat Imam Abu Daud rh di dalam sanadnya: Kitab At-Toharah: 352 dan Musnad Imam Ahmad Bin Hanbal rh: Musnad Al-Makkiyin: 15, 370.

MAZHAB IMAM ABU HANIFAH (RH) DAN IMAM MALIK (RH):

- Khitan adalah SUNAT, sama ada bagi lelaki ataupun perempuan yang beragama Islam

- Dalil mereka ialah Hadis Rasulullah s.a.w:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْفِطْرَةُ خَمْسٌ أَوْ خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ الْخِتَانُ وَالِاسْتِحْدَادُ وَتَقْلِيمُ الْأَظْفَارِ وَنَتْفُ الْإِبِطِ وَقَصُّ الشَّارِبِ

Ertinya: Dari Abu Hurairah r.a tatkala beliau meriwayatkan hadis mengenai 5 tuntutan fitrah iaitu: (1)- Bersunat (khitan), (2)- Menucukur @ Membuang bulu-bulu di sekitar kemaluan, (3)- Mengerat kuku, (4)- Mencabut @ Membuang bulu-bulu ketiak, dan (5) – Mengerat @ Mengemaskan misai ~ Hadis Sahih diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari rh dan Imam Muslim rh.

- Jadi, jika mengerat kuku dan mengemaskan misai adalah sunat, maka hukum khitan pun begitu juga, disebabkan khitan disebut di dalam hadis di atas bersama-sama dengan tuntutan fitrah yang selainnya.

MAZHAB IMAM AHMAD BIN HANBAL (RH):

- Berkhitan ialah wajib ke atas lelaki muslim dan sunat serta merupakan satu kemuliaan bagi wanita muslimah.

PANDANGAN KAMI DI DALAM MASALAH INI:

- Setelah meneliti hujah-hujah daripada setiap pihak, maka kami lebih cenderung kepada Mazhab Imam Asy-Syafi’e (rh) di dalam masalah ini iaitu: BERKHITAN ADALAH WAJIB KE ATAS SETIAP LELAKI DAN WANITA YANG BERAGAMA ISLAM.

- Alasannya adalah sebagai mana di atas, tambahan pula jika kita melihat kepada perkembangan zaman mutakhir kini ( moden ), sudah ramai pakar-pakar perubatan, sama ada mereka itu muslim ataupun tidak, yang mengakui akan kelebihannya. Hatta sudah ramai di negara-negara Barat, orang-orang yang meminta daripada pihak hospital agar mereka disunatkan (khitan) ~ teknologi zaman moden di negara Barat telah menyediakan perkhidmatan bersunat dengan menggunakan mesin ala-laser .

- Selain itu, dengan era-perkembangan teknologi masa kini, media-massa dan pengaruh-pengaruh seks sudah terbuka dengan seluas-luasnya, yang menyumbang kepada gejala sosial, khasnya gejala seks bebas, khasnya di kalangan muda-mudi. Dan ini satu perkara yang tidak dapat dinafikan lagi merupakan salah-satu perancangan Barat untuk memusnahkan umat Islam dengan menyebar-luaskan gejala-gejala sosial, khasnya dengan mengamalkan seks bebas.

- Pakar perubatan pula, kebanyakan mereka bersetuju bahawa salah-satu cara untuk mengurangkan kecenderungan seks yang melampaui batas ( gejala seks bebas ) ialah dengan melakukan khitan iaitu dengan memotong kulit zakar yang menutupi kepala zakar seseorang lelaki dan dengan mengguris sedikit/menoreh sedikit di bahagian hujung kelintit seseorang wanita.

- Dunia hari ini juga menyaksikan bahawa negara-negara umat Islam yang bersunat ini bukanlah "jaguh di dalam dunia seks bebas", sebaliknya mereka yang tidak bersunat ini pula yang banyak terlibat di dalam jenayah ini.

- Lantaran itu, untuk menjaga akhlak muda-mudi, khasnya umat Islam daripada gejala-gejala buruk ini, maka kita amatlah bersetuju dengan pandangan Al-Imam Asy-Syafi’e (rh) yang mewajibkan lelaki dan perempuan yang beragama Islam agar berkhitan.

PENENTANGAN DUNIA BARAT TERHADAP ISU KHITAN WANITA:

Terdapat juga pihak-pihak tertentu, khasnya Barat dan mereka yang terpengaruh dengannya yang menentang perlaksanaan khitan ke atas golongan wanita. Golongan ini konon-kononnya menamakan diri mereka sebagai “Gerakan Pembebasan Wanita“ (Womens Liberation – حركة تحرير المرأة ), walhal mereka sebenarnya adalah kesinambungan agenda musuh-musuh Islam, khasnya pihak Yahudi yang berselindung di sebalik UNESCO dan PBB (U.N), untuk memporak-perandakan umat Islam.

Gerakan Pembebasan Wanita ini cuba menghalang perlaksanaan khitan ke atas muslimah, sebagai mana yang mereka bicarakan di dalam Persidangan Kependudukan 1994 di Kaherah. Samalah sebagai mana sebelum ini , mereka telah cuba untuk memansuhkan syariat Talaq dan Poligami bagi seseorang suami yang beragama Islam.

Selain itu diupah juga beberapa orang pakar-pakar perubatan (konon-kononnya) yang menyatakan bahawa khitan bagi pihak wanita adalah merbahayakan, walhal ianya sebenarnya telah diakui kelebihannya oleh majoriti pakar-pakar perubatan dunia, samada yang beragama Islam ataupun tidak, dan ianya juga telah diamalkan semenjak beribu-ribu tahun yang lalu, tanpa ada sebarang laporan perubatan yang boleh dipercayai bahawa khitan bagi wanita itu benar-benar boleh membahayakan mereka!!!.

Bagi kita, perjuangan Gerakan Pembebasan Wanita ini, selain ianya merupakan tali-barut Yahudi di dalam meneruskan agenda-agenda mereka, ia juga adalah penerus kepada Kristianisasi yang ditaja oleh St. Paul (pengasas ajaran Kristian moden), yang mana khitan ini juga asalnya turut diakui di dalam Bible (Kejadian @ Genesis @ سفر التكوين ~ Fasal 17, Ayat 13-14), akan tetapi ianya telah dimansuhkan oleh St. Paul hingga melahirkan tentangan yang keras daripada pendita-pendita yang lain, khasnya Barnaba (lihat sebab penentangan Barnaba ke atas St. Paul di dalam Mukaddimah Injil Barnaba – The Gospel Of Barnabas). Akhirnya, penentangan daripada Yahudi dan Kristian ini telah dijelmakan di dalam satu fahaman moden yang dinamakan sebagai "Sekularisme".

Sebagai mana telah dijelaskan, masalah khitan wanita ini hanya mempunyai dua hukum, sama ada ianya wajib ataupun sunat. Maka adakah patut adanya pihak-pihak tertentu yang cuba menentang syariat Islam di dalam sesebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasminya!!??. Kalau begitu, di manakah "Kebebasan Beragama" yang dilaung-laungkan selama ini!!??.

Sekian . Wallahu A’alam Bis Sowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad.

*********************************
RUJUKAN

1 – FATAWA WA AHKAM LIL MARAH MUSLIMAH – ‘Allamah Syeikh Atiah Saqr ms 255, Terbitan: Maktabah Wahbah, Kaherah.

2 – YAS ALUNAKA FID DIN WAL HAYAH ~ ‘Allamah Dr. Ahmad As-Syarbasi Jilid 2, ms 29, Terbitan: Darul Jil, Beirut.

3 – ‘AUNIL MA’ABUD: SYARAH SUNAN ABU DAUD RH ~ Imam Abadi dan Ibnul Qaiyim Al-Jauziyah Jilid 2, ms 18. Terbitan: Darul Fikr, Beirut.

4 – MUSNAD IMAM AHMAD BIN HANBAL RH ~ Komentar Oleh Syeikh Hamzah Ahmad Zain
Jilid 12, ms 174, Terbitan: Darul Hadis, Kaherah.

5 –AL-MU’UJAM AL-MUFAHRAS LI ALFADZIL HADIS AN-NABAWI ~ Oleh Orientalis Barat
Jilid 2, ms 11. Terbitan: Belanda ( 1943 ).

6 - http://www.islamonline.net/completesearch/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=11598

7 - http://www.islamonline.net/completesearch/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=40379

8 – KAMUS PENGETAHUAN ISLAM ~ Datuk Hj Dasuki Ahmad (YADIM : 1976).

9 – USUL MU’ASYARAH AZ-ZAUJIAH ~ Syeikh Ahmad Kan’an.

10 - Penerangan Lisan Oleh Syeikh Solleh Hamdi As-Sisi (M.A – Hadis, Universiti al-Azhar).

11 - MAUSU’AH AL-HADIST SYARIF ~ Sakhr Software Co. Egypt.

12 – COMBAT KIT: AGAINTS BIBLE THUMPERS ~ ‘Allamah Syeikh Ahmed Deedat Terbitan: Darul Manarah, El-Mansoura, Egypt.

13 – TERJEMAH INJIL BARNABAS – Oleh Rahnip M. BA (PT Bina Ilmu, Surabaya).



و إلى اللقاء إن شاء الله تعالى
والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته

3 comments:

musykil said...

salam...ana ada terbaca di dalam buku kecil krgn dr yusof qardhawi.tentang khitan wanita di mesir.darul ifta' di mesir mengeluarkan fatwa bahawa haram berkhitan bagi wanita kerana ada.Apakah perkara yang menyebabkan haram tersebut?mintak penjelasan sedikit.syukran

aizuddin said...

w'salam,

Kalau tak silap yang mengharamkan khitan bagi perempuan adalah SS Mufti Mesir, tiada maklumat lengkap. Sheikh Yusuf Al Qaradhawy dalam tarjih fiqh thaharahnya menyatakan sunat.

Masih menjadi perkara khilafiah, pendapat yang paling rajih adalah SUNAT. Sila baca dalil-dalil dalam link brikut:

Khitan

aizuddin said...

Pembetulan,

Khitan anak perempun menurut Syeikh Yusuf al Qaradhawy dlm fiqh thaharah bukan wajib bukan sunat tapi harus yang dilakukan dengan ringan sekali. Khitan yang diharamkan oleh Mufti mesir adalah khitan yang dipanggil FGM (female genital mutilation) yg dilakuan oleh sebahagian kaum di pedalaman Mesir dan Sudan. Wallahu'alam...

Post a Comment