Feb 28, 2010

Adakah Wanita Tidak Boleh Solat Jemaah Di Masjid?

ummu_wijdan wrote:

soalan:
ada ke pandangan mana2 mazhab yg mengatakan perempuan tidak boleh solat berjemaah?


****************************************
Wanita Mendatangi Solat Jamaah di Masjid

465. Dibolehkan wanita datang ke masjid solat berjamaah, namun demikian solat mereka di rumahnya adalah lebih utama. Hal ini berdasarkan pada sabda baginda ,

لاَتمْنَعُوْا النِّسَاءَ أَنْ يَخْرُجْنَ اِلَى الْمَسَاجدِ وَبُيُوْتُهُنَّ خَيْرٌ لَهُنَّ.

“Janganlah kamu melarang kaum wanita keluar menuju ke masjid (untuk solat berjamaah), dan rumah-rumah mereka itu adalah lebih baik baginya.” [Riwayat Ahmad No. 5448, Abu Dawud No. 567, dan asal hadith ini terdapat dalam dua kitab Shahih (Shahihain) dengan adanya perbezaan lafaz.]

465. Mereka sebaiknya datang ke masjid dengan tanpa memakai minyak wangi (parfum), hal ini berdasarkan sabda baginda,

لاَ تَمْنَعُوْا إِمَاءَ اللهِ مَسَاجِدَ اللهِ وَلْيَخْرُجْنَ تَفِلاَتٍ.

“Janganlah kamu melarang kaum perempuan datang ke masjid dan hendaklah mereka keluar dengan tanpa memakai wangi-wangian.”[ Riwayat Ahmad No. 9362, 9794, 10454, Abu Dawud No. 565, Darimi No. 1279, lihat Al-Irwa’ No. 515.

Dan juga berdasarkan sabda Nabi.

اَيُّمَا امْرَأَةٍ أَصَابَتْ بَخُوْرًا فَلاَ تَشْهَدْ مَعَنَا الْعِشَاءَ الآخِرَةَ.

“Wanita yang mana saja memakai wangi-wangian, maka janganlah dia ikut solat Isya’ yang akhir bersama kami.” [Riwayat Muslim No. 444, Ahmad No. 7975, Abu Dawud No. 4175, dan An-Nasa’i No. 5128.]

Fiqh Dalil – Dr ‘Aid al al-Qarni
--------------------------------

Berikut sebahagian tulisan mengenai perbahasan di atas yg diambil dari buku Mutiara Fiqh Hanafi - Mohd Faez Mohd Shah al-Hashimi

Jemaah yang afdal

Solat berjemaah di masjid atau surau lebih afdal daripada solat di tempat lain seperti rumah bagi kaum lelaki kerana masjid atau surau melambangkan kemuliaan dan memperlihatkan syiar Islam. Namun bagi kaum perempuan, afdal solat berjemaah di rumah.

Menurut Imam Abu Hanifah, Abu Yusuf dan Muhammad Bin al Hasan, perempuan yang muda atau gadis ditegah untuk hadir berjemaah di masjid atau surau secara mutlak kerana dibimbangi berlakunya fitnah yang membawa kepada pelbagai kesan negatif.

Manakala, bagi perempuan yang tua dan lemah, maka diharuskan bagi mereka untuk hadir berjemaah di masjid atau di surau hanya untuk solat Subuh, Maghrib dan Isyak kerana pada waktu itu hari sudah gelap, maka terlindung daripada pandangan lelaki dan kurang menimbulkan fitnah terhadap mereka.

Adapun solat Zuhur, Asar dan Jumaat, tidak diharuskan bagi mereka hadir berjemaah kerana ketika itu ramai orang-orang liar dan jahat berkeliaran di jalanan atau di tempat-tempat laluan menyebabkan timbul pelbagai fitnah.

Namun Abu Yusuf dan Muhammad Bin al Hasan berpandangan, tidak mengapa jika mereka hadir berjemaah untuk solat Zuhur, Asar dan Jumaat kerana tidak mungkin timbul fitnah bagi perempuan yang tua dan lemah.

Terdapat sebahagian ulama-ulama mazhab Hanafi Mutaakhirin berfatwa bahawa, dilarang sama sekali bagi perempuan untuk hadir berjemaah sekalipun solat Jumaat atau hari raya sama ada mereka muda atau tua kerana zaman pada hari ini memperlihatkan banyak keburukan dan kerosakan akhlak manusia.

Ummu Salamah r.a meriwayatkan bahawa, Rasulullah SAW bersabda :

(( خير مساجد النساء قعر بيوتهن ))

Sebaik-baik masjid bagi perempuan adalah di dalam rumah-rumah mereka. HR Ahmad.

wallahu a'lam

0 comments:

Post a Comment