oleh: Hafiz Firdaus Abdullah
Baru-baru ini ketika dijemput memberi kuliah di sebuah masjid, saya menghadapi sedikit cabaran. Saya ingin menggunakan LCD Projector untuk menayangkan Power Point Presentation. Akan tetapi memandangkan kuliah diadakan di ruang utama solat, sebahagian hadirin muslimah tidak dapat masuk ke dalam. Saya jangka ini berlaku kerana mereka ketika itu didatangi haid dan mengikut pendapat yang masyhur, wanita yang didatangi haid tidak boleh memasuki masjid. Maka para muslimah sebahagiannya ada yang duduk dalam ruang utama solat dan sebahagian lagi di tepi pintu ruang utama solat. Keadaan mereka yang terjengok-jengok di sebalik bingkai pintu mengharukan saya.
Namun pada waktu yang sama, terdapat beberapa perkara yang menghairankan saya. Jika hendak berpegang kepada pendapat yang melarang wanita haid memasuki masjid, kenapakah batas atau definisi masjid tersebut diubah-ubah? Sebagai contoh:
- Ada yang berpendapat batas yang dilarang adalah ruang utama solat, manakala ruang serambi di sekeliling ruang utama solat dibolehkan. Lazimnya ruang utama solat adalah yang berlapik permaidani. Maka wanita yang didatangi haid tidak boleh duduk di ruang utama solat, tetapi boleh duduk di serambi yang mengelilingi ruang utama solat. Ini menghairankan saya kerana bukankah kedua-dua kawasan tersebut sebenarnya masuk dalam batas masjid?
- Ada yang berpendapat batas yang dilarang adalah dewan solat, manakala dewan serbaguna yang lazimnya terletak di tingkat bawah dewan solat dibolehkan. Pendapat sebegini lazimnya diamalkan di masjid-masjid yang bertingkat. Maka wanita yang didatangi haid tidak boleh naik ke tingkat dewan solat, tetapi boleh ke tingkat dewan serbaguna yang terletak di bawahnya. Ini menghairankan saya kerana bukankah kedua-dua tingkat tersebut sebenarnya tetap masuk dalam batas masjid?
- Ada yang berpendapat, batas yang dilarang hanya bangunan masjid manakala bangunan di perkarangan masjid dibolehkan. Maka dibina bangunan tambahan beserta bilik-bilik kuliah agar dapat dihadiri oleh para hadirin wanita yang didatangi haid. Akan tetapi apabila hendak diumumkan sesuatu program, akan disebut: “Esok pukul 2 petang akan diadakan kuliah tafsir untuk para muslimah di bilik kuliah A, Masjid Bukit Harimau.” Sekali pun letaknya di perkarangan, ia termasuk sebahagian daripada masjid.
- Ada yang membezakan antara masjid dan surau. Masjid adalah binaan besar yang dilaksanakan solat Jumaat di dalamnya. Surau pula adalah binaan kecil yang tidak dilaksanakan solat Jumaat di dalamnya. Maka masjid dilarang bagi wanita yang didatangi haid sementara surau dibolehkan. Ini turut menghairankan saya kerana tidak wujud petunjuk jelas bagi membezakan antara masjid dan surau. Lebih dari itu kebanyakan surau, sekurang-kurang yang berada di Lembah Klang, saiz dan kelengkapannya jauh lebih besar dan canggih berbanding masjid Nabi shallallahu 'alaihi wasallam pada zaman baginda.
Dalam penulisan ini, saya tidak bercadang untuk mengupas berkenaan batas atau definisi masjid. Akan tetapi yang menjadi tumpuan saya adalah berkenaan hukum wanita yang didatangi haid memasuki masjid dan mendiaminya.
Pendapat Para Ilmuan Dalam Persoalan Ini.
Jika dikaji kitab fiqh dari keempat-empat mazhab, akan ditemui bahawa kebanyakan mereka (jumhur) berpandangan bahawa wanita yang didatangi haid tidak boleh memasuki masjid dan mendiaminya. Dalilnya adalah sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
لاَ أُحِلُّ الْمَسْجِدَ لِحَائِضٍ وَلاَ جُنُبٍ.
Aku tidak menghalalkan masjid bagi (wanita yang didatangi) haid dan tidak (halal juga) bagi orang yang junub.
Hadis tersebut dikeluarkan oleh Imam Abu Daud dalam kitab Sunannya, hadis no: 220 (Kitab al-Thaharah, Bab berkenaan orang junub yang memasuki masjid). Selain itu ia juga dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari dalam al-Tarikh al-Kabir (Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 2001), perawi no: 1710 (Bab Alif: Aflat bin Khalifah), Imam Ibn Khuzaimah dalam Shahihnya (tahqiq: M. Musthafa al-‘Azhami; al-Maktab al-Islami, Beirut, 1996), hadis no: 600 (Kitab himpunan bab keutamaan masjid, Bab tegahan duduk bagi orang yang junub dan haid dalam masjid) dan Imam al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (tahqiq: M. ‘Abd al-Qadir ‘Atha; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1999), hadis no: 4323 (Kitab al-Solat, Bab orang junub melalui masjid dan tidak berdiam di dalamnya).
Kesemuanya melalui jalan sanad yang berpangkal kepada Aflat bin Khalifah, dari Jasrah binti Dajajah, dari ‘Aisyah radhiallahu 'anha. Kedua-dua perawi di atas, Aflat bin Khalifah dan Jasrah binti Dajajah, diperselisihkan kedudukan mereka dari sudut al-Jarh wa al-Ta’dil. Sebahagian ahli hadis ada yang menilai mereka lemah dan ada yang menilai mereka lebih kuat dari sekadar lemah. Ada yang menolak hadis-hadis yang mereka sampaikan, ada yang menerimanya jika ia memiliki penguat yang lain dan ada yang menerimanya secara mutlak.
Oleh itu sekali pun pada zahirnya keempat-empat mazhab bersepakat menggunakan hadis yang mereka sampaikan berkenaan larangan bagi wanita yang didatangi haid dan orang junub dari memasuki masjid, telaah yang cermat terhadap pelbagai kitab para ahli hadis dan fiqh menemukan tiga perselisihan pendapat berkenaan darjat hadis tersebut:
1. Ada yang menilai hadis tersebut adalah dha‘if (lemah). Ini adalah penilaian Imam al-Bukhari, Imam Ibn Hazm, Imam Ibn al-Rif‘ati (ابن الرفعة), Imam al-Khaththabi, Imam ‘Abd al-Haq dan Imam Ibn Rusyd.
2. Ada yang menilai hadis tersebut adalah hasan. Ini adalah penilaian Imam Ibn al-Qaththan, Imam Abu Daud dan Imam al-Zayla’e.
3. Ada yang menilai hadis tersebut adalah shahih. Ini adalah penilaian Imam Ibn Khuzaimah dan Imam al-Syaukani.
Lebih lanjut rujuk:
- al-Tarikh al-Kabir oleh Imam al-Bukhari, perawi no: 1710.
- al-Muhalla bi al-Atsar oleh Imam Ibn Hazm (tahqiq: ‘Abd al-Ghaffar Sulaiman; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, tp.thn.), jld. 1, ms. 400-401, masalah no: 262.
- Talkhish al-Habir fi Takhrij Ahadits al-Rafi’e al-Kabir oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani (Maktabah Musthafa al-Baz, al-Riyadh, 1996), jld. 1, ms. 212, hadis no: 185.
- Bidayah al-Mujtahid oleh Imam Ibn Rusyd (tahqiq: ‘Adil Ahmad ‘Abd al-Maujud & ‘Ali Muhammad Ma‘awwadh; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, 1996), jld. 1, ms. 541.
- al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab oleh Imam al-Nawawi (tahqiq: M. Najib Ibrahim; Dar Ihya’ al-Turats al-‘Arabi, Beirut 2001), jld. 2, ms. 129.
- Nasbu al-Rayah fi Takhrij al-Ahadits al-Hidayah oleh Imam al-Zayla’e (Dar al-Hadits, Kaherah, 1995), jld. 1, ms, 276-277.
- Shahih Ibn Khuzaimah, hadis no: 600.
- Nail al-Authar min Asrar Muntaqa al-Akhbar oleh Imam al-Syaukani (tahqiq: ‘Adil Ahmad ‘Abd al-Maujud & ‘Ali Muhammad Ma‘awwadh; Dar al-Kitab al-‘Arabi), jld. 1, ms. 344.
Perselisihan dalam menilai darjat hadis ini berterusan sehingga di kalangan para ilmuan masa kini. Di antara mereka ada yang mendha‘ifkannya dan ada yang menghasankannya. Di antara dua penilaian ini, yang manakah yang lebih tepat?
Lazimnya saya sendiri suka mengkaji lebih lanjut untuk mencari penilaian yang lebih tepat. Akan tetapi dalam bab ini ada sebuah hadis lain yang tidak diperselisihkan, sehingga dengan itu tumpuan kita tidak perlu ditujukan kepada hadis di atas yang diperselisihkan.
Kisah Seorang Hamba Wanita Yang Hitam.
Dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Solat, Bab wanita yang tidur di dalam masjid, hadis no: 439, terdapat hadis berikut daripada ‘Aisyah radhiallahu 'anha:
أَنَّ وَلِيدَةً كَانَتْ سَوْدَاءَ لِحَيٍّ مِنْ الْعَرَبِ فَأَعْتَقُوهَا فَكَانَتْ مَعَهُمْ. قَالَتْ: فَخَرَجَتْ صَبِيَّةٌ لَهُمْ عَلَيْهَا وِشَاحٌ أَحْمَرُ مِنْ سُيُورٍ. قَالَتْ: فَوَضَعَتْهُ أَوْ وَقَعَ مِنْهَا فَمَرَّتْ بِهِ حُدَيَّاةٌ وَهُوَ مُلْقًى فَحَسِبَتْهُ لَحْمًا فَخَطِفَتْهُ. قَالَتْ: فَالْتَمَسُوهُ فَلَمْ يَجِدُوهُ. قَالَتْ: فَاتَّهَمُونِي بِهِ. قَالَتْ: فَطَفِقُوا يُفَتِّشُونَ حَتَّى فَتَّشُوا قُبُلَهَا. قَالَتْ: وَاللَّهِ إِنِّي لَقَائِمَةٌ مَعَهُمْ إِذْ مَرَّتْ الْحُدَيَّاةُ فَأَلْقَتْهُ. قَالَتْ: فَوَقَعَ بَيْنَهُمْ. قَالَتْ: فَقُلْتُ هَذَا الَّذِي اتَّهَمْتُمُونِي بِهِ زَعَمْتُمْ وَأَنَا مِنْهُ بَرِيئَةٌ وَهُوَ ذَا هُوَ.
قَالَتْ: فَجَاءَتْ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَسْلَمَتْ.
قَالَتْ عَائِشَةُ: فَكَانَ لَهَا خِبَاءٌ فِي الْمَسْجِدِ أَوْ حِفْشٌ. قَالَتْ: فَكَانَتْ تَأْتِينِي فَتَحَدَّثُ عِنْدِي. قَالَتْ: فَلاَ تَجْلِسُ عِنْدِي مَجْلِسًا إِلاَّ قَالَتْ: وَيَوْمَ الْوِشَاحِ مِنْ أَعَاجِيبِ رَبِّنَا أَلاَ إِنَّهُ مِنْ بَلْدَةِ الْكُفْرِ أَنْجَانِي.
قَالَتْ عَائِشَةُ: فَقُلْتُ لَهَا مَا شَأْنُكِ لا تَقْعُدِينَ مَعِي مَقْعَدًا إِلاَّ قُلْتِ هَذَا؟ قَالَتْ: فَحَدَّثَتْنِي بِهَذَا الْحَدِيثِ.
(Terdapat) seorang hamba wanita berkulit hitam milik satu kaum bangsa Arab yang mereka bebaskan dan dia tinggal bersama mereka. Hamba itu berkata:
Satu ketika anak perempuan mereka keluar dengan memakai selendang merah yang dibuat dari kulit dan dihiasi dengan batu permata. Dia meletakkannya, atau terjatuh, sehingga terbanglah seekor burung sedangkan selendang tersebut terletak di atas tanah. Burung itu menganggap selendang tersebut adalah seketul daging lalu ia menyambarnya.
Lalu (kemudian) mereka mencari selendang tersebut namun tidak menemuinya. Akhirnya mereka menuduh aku yang mengambilnya. Mereka mulai mencarinya sehingga memeriksa kemaluannya. Demi Allah! Sungguh aku masih berdiri di kalangan mereka sehingga tiba-tiba terbanglah burung itu dan melemparkan selendang tersebut. Selendang tersebut jatuh tepat di antara mereka. Lalu aku berkata: “Inilah selendang yang kalian tuduh aku mengambilnya padahal aku bersih dari semua tuduhan itu dan inilah selendang tersebut.”
Maka aku datang kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan masuk Islam.
‘Aisyah berkata: Sejak itu dia mendapat tempat tinggal berupa kemah atau bilik kecil berbumbung rendah di dalam masjid. Hamba itu biasa mendatangiku dan berbicara denganku. Dia tidak pernah duduk di hadapanku melainkan berkata:
“Dan hari selendang itu di antara keajaiban Tuhan kami, Ketahuilah! Dari negeri kafir Dia menyelamatkann aku.”
‘Aisyah berkata: Aku bertanya kepada dia, kenapa kamu tidak sekali pun duduk bersamaku kecuali mengucapkan sedemikian? Maka dia pun menceritakan kepadaku kisah di atas.
Menjadi perhatian kita adalah keterangan ‘Aisyah radhiallahu 'anha bahawa: “Sejak itu dia mendapat tempat tinggal berupa kemah atau bilik kecil berbumbung rendah di dalam masjid.” Keterangan ini menunjukkan wanita tersebut duduk lama di dalam masjid sehingga dibangunkan kemah atau bilik kecil untuknya. Di sinilah terletak petunjuk hukum yang penting kerana wanita tersebut pasti mengalami putaran haidnya dan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tidak menghalang beliau dari terus tinggal di dalam masjid.
A’isyah radhiallahu 'anha tidak menerangkan sama ada wanita tersebut adalah seorang budak atau yang sudah lanjut umurnya, bererti beliau adalah wanita dewasa yang mengalami putaran haid seperti biasa. Tidak timbul persoalan sama ada beliau adalah seorang budak yang belum didatangi putaran haid atau seorang yang lanjut umur yang telah berhenti putaran haid.
Maka di sini kita berhadapan dengan dua hadis yang kelihatan seolah saling bercanggah. Hadis pertama menerangkan larangan bagi wanita yang didatangi haid memasuki masjid manakala hadis kedua menerangkan wanita yang didatangi haid boleh memasuki dan mendiami dalam masjid. Para ilmuan Islam telah menggariskan beberapa kaedah untuk menghilangkan percanggahan yang wujud di antara dua atau lebih hadis. Kaedah yang pertama adalah, hendaklah hadis-hadis yang bercanggah tersebut memiliki darjat kekuatan yang sama.
Di sini kita menghadapi dua keadaan:
- Seandainya hadis yang melarang darjatnya dha‘if atau hasan, maka ia tertolak berbanding hadis sahih yang membolehkan wanita yang didatangi haid memasuki dan mendiami masjid. Maka dengan itu wanita yang didatangi haid boleh memasuki masjid dan mendiaminya tanpa sebarang halangan.
- Seandainya hadis yang melarang darjatnya sahih, maka diperhatikan adakah salah satu darinya membatalkan yang lain. Setakat ini tidak ditemui bukti bahawa wujudnya pembatalan. Maka kaedah yang terbaik adalah menggandingkan kedua-dua hadis, antara yang melarang dan membolehkan wanita yang didatangi haid memasuki dan mendiami masjid. Pergandingan ini menunjukkan bahawa hadis larangan tidak membawa hukum haram, tetapi sekadar makruh. Oleh itu makruh bagi wanita yang didatangi haid untuk memasuki masjid dan mendiaminya kecuali jika dia memiliki sesuatu urusan di dalamnya.
Beberapa Dalil Lain Dalam Persoalan Ini.
Terdapat beberapa dalil lain yang turut dijadikan hujah dalam persoalan ini. Tiga yang paling masyhur di antaranya adalah:
Hadis Umm Salamah.
Dalam Sunan Ibn Majah, Kitab al-Thaharah wa Sunaniha, Bab berkenaan tegahan (wanita yang didatangi) haid dari masjid, hadis no: 645, diriwayatkan dari Umm Salamah radhiallahu 'anha sebuah hadis:
إِنَّ الْمَسْجِدَ لاَ يَحِلُّ لِجُنُبٍ وَلاَ لِحَائِضٍ.
Sesungguhnya masjid tidak dihalalkan bagi orang yang junub dan tidak juga bagi (wanita yang didatangi) haid.Hadis ini juga dikeluarkan oleh al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (tahqiq: Hamdi ‘Abd Al-Majid; Dar Ihya’ al-Turats al-‘Arabi, Beirut, tp.thn.), jld. 23, hadis no. 883. Kedua-duanya dengan sanad yang di dalamnya perawi yang bernama Mahduj al-Zuhliy dan Abi al-Khattab al-Hajari, kedua-duanya adalah perawi yang lemah. Selain itu sanadnya berpangkal kepada Jasrah binti Dajajah, perawi sama yang menyampaikan hadis riwayat Imam Abu Daud yang merupakan asas perbincangan kita. Statusnya sebagai periwayat hadis diperbincangkan.
Kemudian terdapat kesilapan di dalam hadis di atas dimana ia sebenarnya bukan diriwayatkan oleh Umm Salamah, tetapi oleh ‘Aisyah. Demikian terang Imam Abu Zur‘ah dalam al-‘Ilal li Ibn Abi Hatim, hadis no: 269 sebagaimana yang dikemukakan oleh Syaikh Khalid Dhaif Allah al-Syalahi dalam al-Tibyan fi Takhrij wa Tabwib Ahadits Bulugh al-Maram (Muasasah al-Risalah, Beirut, 2000), jld. 2, ms. 298.
Faktor-faktor di atas mencacatkan hadis Umm Salamah ini dan menyebabkan ia tidak dapat dijadikan hujah mahu pun penguat kepada hadis riwayat Imam Abu Daud yang merupakan asas perbincangan kita.
Hadis Umm ‘Athiyah.
Dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-‘Iedain, Bab wanita haid tidak hadir di musholla, hadis no: 981, Umm ‘Athiyah radhiallahu 'anha berkata:
أُمِرْنَا أَنْ نَخْرُجَ فَنُخْرِجَ الْحُيَّضَ وَالْعَوَاتِقَ وَذَوَاتِ الْخُدُورِ. قَالَ ابْنُ عَوْنٍ: "أَوْ الْعَوَاتِقَ ذَوَاتِ الْخُدُورِ," فَأَمَّا الْحُيَّضُ فَيَشْهَدْنَ جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِينَ وَدَعْوَتَهُمْ وَيَعْتَزِلْنَ مُصَلاَّهُمْ.
Kami telah diperintahkan (oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam) untuk keluar, maka kami memerintahkan wanita-wanita yang sedang haid, para gadis dan wanita-wanita pingitan untuk keluar. Ibnu ‘Aun berkata: “atau wanita-wanita pingitan.”
(Umm ‘Athiyah menyambung) dan wanita-wanita yang haid diperintahkan (oleh Nabi shallallahu 'alaihi wasallam) agar menyaksikan jamaah kaum muslimin dan dakwah mereka serta menjauhi musholla.
Hadis ini sebenarnya tidak berkaitan untuk dijadikan hujah. Ini kerana musholla yang diperintahkan agar dijauhi oleh wanita yang didatangi haid adalah padang atau satu tempat yang luas. Ia bukanlah masjid.
Pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, solat Hari Raya dilaksanakan di tempat terbuka dan semua orang diperintahkan keluar. Termasuk yang diperintahkan keluar ialah para wanita yang didatangi haid. Wanita yang didatangi haid tidak boleh bersolat, oleh itu Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyuruh mereka duduk di luar kawasan solat manakala wanita yang tidak didatangi haid duduk di dalam untuk bersolat.
Seandainya semua wanita, sama ada yang didatangi haid atau tidak, duduk berhimpun di satu kawasan, nescaya saf solat terputus-putus antara yang boleh solat dan yang tidak boleh solat.
Pentingnya, hadis di atas tidak berkaitan dengan hukum wanita yang didatangi haid sama ada boleh memasuki masjid atau tidak.
Ayat 43 Surah al-Nisa’.
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لاَ تَقْرَبُوا الصَّلاَةَ وَأَنْتُمْ سُكَارَى حَتَّى تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلاَ جُنُبًا إِلاَّ عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّى تَغْتَسِلُوا.
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri solat sedang kamu dalam keadaan mabuk hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub kecuali kamu hendak melintas sahaja hingga kamu mandi.
Dalam ayat di atas, Allah Subhanahu wa Ta'ala melarang orang yang dalam keadaan junub daripada menghampiri masjid melainkan sekadar untuk melintas sahaja. Ini menunjukkan bahawa orang yang junub dilarang memasuki masjid kecuali sekadar melintas sahaja. Orang yang junub diqiyaskan kepada wanita yang didatangi haid. Maka wanita yang didatangi haid turut dilarang memasuki masjid kecuali sekadar melintas sahaja.
Menggunakan qiyas untuk menghubungkan antara haid dan junub adalah tertolak kerana beberapa sebab:
1. Kes wanita yang didatangi haid adalah sesuatu yang berlaku pada ketika turunnya ayat di atas. Namun Allah hanya menyebut kes orang yang junub dan mendiamkan kes wanita yang didatangi haid. Memandangkan Allah mendiamkannya, maka hendaklah juga kita mendiamkannya tanpa perlu menambah-nambah.
2. Qiyas adalah kaedah mengeluarkan hukum bagi kes-kes baru yang tidak wujud pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Kes wanita yang didatangi haid bukanlah satu kes yang baru kerana ia sedia wujud pada zaman baginda. Oleh itu tidaklah tepat untuk menggunakan kaedah qiyas untuk menghubungkan antara haid dan junub.
3. Antara haid dan junub, persamaannya hanya dari sudut kewajipan mandi. Selain itu terdapat beberapa perbezaan yang besar. Antaranya junub adalah satu keadaan di mana seseorang itu memiliki pilihan untuk berada dalamnya atau tidak, dan seseorang itu boleh keluar daripada keadaan junub pada bila-bila masa melalui mandi wajib atau tayamum. Berbeza halnya dengan haid, ia bermula dan berakhir tanpa pilihan. Oleh itu terdapat banyak perbezaan antara haid dan junub sehingga tidak boleh menyamakan antara kedua-duanya.
Kesimpulan Tinjauan.
Bagi wanita yang didatangi haid, para ilmuan sepakat berdasarkan dalil yang kukuh lagi jelas bahawa mereka tidak boleh solat, puasa, tawaf dan bersetubuh. Ada pun hukum memegang dan membaca al-Qur’an, dalilnya adalah lemah sebagaimana yang telah saya jelaskan dalam artikel Amalan Wanita Yang Didatangi Haid Dalam Bulan Ramadhan yang dimuatkan dalam buku Menelan Air Liur Tidak Membatalkan Puasa (Himpunan Risalah Berkenaan Puasa dan Isu-Isu Berkaitannya) terbitan Jahabersa, Johor Bahru.
Dalam artikel ini, kita meninjau pula hukum wanita yang didatangi haid sama ada boleh atau tidak untuk memasuki masjid dan mendiaminya. Tinjauan mendapati hadis yang melarang wanita memasuki masjid dan mendiaminya diperselisihkan kedudukannya antara dha‘if, hasan atau sahih. Pada waktu yang sama terdapat hadis sahih lain yang menerangkan wanita yang didatangi haid boleh memasuki masjid dan mendiaminya.
Oleh itu apabila seseorang muslimah memiliki urusan di dalam masjid, dia boleh memasukinya dan mendiaminya. Urusan yang dimaksudkan adalah pelbagai dan ia tidak perlu sesuatu yang berada pada tahap darurat. Contoh urusan yang dimaksudkan adalah ustazah yang menyampaikan kuliah, para muslimah yang menghadiri kuliah dan para muslimah yang menziarah masjid bersejarah.
Kesimpulan ini berbeza dengan pandangan majoriti para ilmuan. Akan tetapi kesimpulan ini dicapai dengan mengkaji secara teliti dalil dan hujah para ilmuan itu sendiri tanpa melepaskan sikap hormat dan kasih sayang kepada mereka.
Jika di kalangan pembaca ada yang tidak setuju dengan tinjauan ini, maka pilihan anda saya hormati. Jika di kalangan pembaca ada yang setuju dengan tinjauan ini, maka hormatilah orang lain yang tidak setuju. Selain itu berkongsilah tinjauan ini dengan mereka yang tidak tahu, kemudian hormatilah pilihan mereka.
0 comments:
Post a Comment