Jan 25, 2009

amalan selepas jima'

saya adalah seorang isteri.belum ada cahayamata dan baru berumahtangga 2 bulan yg lalu.saya ingin bertanya tentang perkara yang sepatutnya dilakukan oleh suami selepas melakukan persetubuhan dengan isteri.

****************************
kamin
Panel Feqh

wa'alaikumussalam

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan Puan norhaizan dengan kadar ilmu dan kemampuan yang terhad, Insyaallah.

Untuk pertama kalinya kami mengucapkan tahniah kerana telah menjadi seorang isteri, dan insyaallah akan menjadi seorang isteri yang solehah. Pada mulanya membaca soalan ini, tergambar kepada kami mengenai apakah perkara-perkara wajib atau sunat dilakukan setelah hubungan kelamin. Akan tetapi setelah melihat sub-title soalan Puani yang tertulis "kurang ransangan dari suami" barulah kami sedar bahawa persoalan diatas ini adalah lebih dari hukum feqh semata-mata.

Kebanyakkan riwayat menceritakan tentang beberapa amalan yang dilakukan sebelum melakukan jima' (introduction to intercourse), diantaranya ialah :-

1. Memakai bau-bauan yg wangi sebelum berjima' sebagaimana yang hadith dari Ai'syah ra diriwayatkan al-Bukhaari dan Muslim.

2. Bermain-main dengan isteri sebelum berjima' (bercumbu dsb) untuk menaikkan keinginan. Diriwayatkan oleh Jabir ra bahawa : (نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن المواقعة قبل المداعبة ) - "Rasulullah saw melarang melakukan hubungan seks sebelum bercumbu). [lihat Zadul Ma'ad, 3/309].

3. Membaca do'a sebeum berjima' ( بسم الله اللهم جنبنا الشيطان وجنب الشيطان ما رزقتنا ) "Bismillaah, Allaahumma jannibnaa al-shaytaan wa jannib al-shaytaan maa razqtanaa" (Dengan nama Allah, Ya Allah lindungilah kami dari syaitan dan jauhilah syaitan dari apa yang engkau reskikan kepada kami (anak kami)" - [hadith riwayat al-Bukhaari, 9/187].

(1a) Amalan selepas jima'

Tidak ada amalan khusus yang dibicarakan didalam hadith mengenai amalan yang dilakukan selepas Jima' selain dari membersihkan diri daripada janabaah (hadas besar). Al-Baghawi didalam Sharh al-Sunnah (2/9) menyebut :-

غسل الجنابة وجوبه بأحد الأمرين : أما بإدخال الحشفة في الفرج أو خروج الماء الدافق من الرجل أو المرأة
"Mandi dari janaabah (mandi wajib) adalah wajib didalam 2 keadaan : apabila kepada zakar bertemu faraj, atau apabila air dikeluarkan (mani) samada lelaki atau perempuan".

(a) Jika seseorang lelaki selepas berjima' dengan isteri dan ingin melakukan jima' untuk kali kedua, dia digalakkan mengambil wudhu', kerana Nabi saw bersabda :-

إذا أتى أحدكم أهله ثم أراد أن يعود فليتوضأ بينهما وضوءا ، فإنه أنشط في العَوْد
"Jika sesiapa diantara kamu telah berjima' dengan isterinya dan ingin mengulangi lagi, ambil wudhu' diantara kedua perbuatan tersebut, kerana sesungguhnya yang kedua lebih bertenaga" - [Hadith riwayat Muslim 1/171]

Mengambil wudhu' adalah mustahab (digalakkan), dan bukanlah wajib. Jika seseorang itu melakukan mandi wajib diantara dua perbuatan ini, maka ini adalah lebih baik sebagaimana hadith dari Abu Raafi' yang berkata bahawa Nabi saw apabila melawat isteri-isterinya akan mandi di rumah yang ini dan rumah yang berikutnya. Abu Raafi' berkata :

يا رسول الله ألا تجعله غسلا واحدا ؟ قال : ( هذا أزكى وأطيب وأطهر )
"Ya Rasulullah, kenapa kamu tidak mandi sekali sahaja?", baginda bersabda :'Ini lebih bersih , baik dan suci' -[Hadith riwayat Abu Daud dan al-Nasaa'i, 1/79]

(b) Di bolehkan bagi seseorang setelah mengadakan jima' dengan isterinya melambatkan mandi wajib sehingga sebelum masuk waktu solat, akan tetapi adalah mustahab (digalakkan) baginya mengambil wudhu' sebelum tidor. Terdapat riwayat dari Umar ra yang mengatakan beliau telah bertanya kepada Nabi saw :-

أينام أحدنا وهو جنب ؟ فقال عليه الصلاة والسلام : ( نعم ، ويتوضأ إن شاء )
"'Bolehkah kita tidor apabila kita masih didalam keadaan junub (hadas besar)?' Nabi saw bersabda :'Ya, Ambil wudhu' jika dia mahu'". - [Hadith riwayat Ibn Hibban #232].

(1a) Nasihat Imam al-Ghazali rh mengenai amalan selepas jima - (sebagai didalam fatwa Syiekh Dr Yusuf Al-Qaradhawi ha.).

Berkata Imam Al-Ghazali rh. didalam Kitab Ihya' mengenai penghujung berjima':-

ثم إذا قضى وطره فليتمهل على أهله حتى تقضي هي أيضًا نهمتها، فإن إنزالها ربما يتأخر، فيهيج شهوتها، ثم القعود عنها إيذاءً لها . والاختلاف في طبع الإنزال يوجب التنافر مهما كان الزوج سابقًا إلى الإنزال، والتوافق في وقت الإنزال ألذ عندها ولا يشتغل الرجل بنفسه فإنها ربما تستحي
"Kemudian apabila ia telah menyelesaikan hajatnya maka hendaklah ia menunggu isterinya (jangan mencabut segera) sehingga isterinya juga merasa puas, kerana keluarnya air itu kadang-kala terlambat. Maka ketika syahwatnya sedang bergelora tetapi suami sudah selesai, maka hal ini menyakitkan (mengecewakan). Kerana waktu keluar air yang tidak sama dapat menimbulkan perkara bagi mereka, apabila suaminya lebih dahulu mengeluarkan airnya, Dan apabila waktu keluarnya air itu bersamaan, maka hal itu lebih nikmat baginya. Dan janganlah suami hanya sibuk memperhatikan kepentingan dirinya sahaja, kerana isterinya kadang-kadang merasa malu (untuk aktif)"

Sebelum itu Syiekh Al-Qaradhawi menyebut :-

ومما لفت الإسلام إليه النظر ألا يكون كل هم الرجل قضاء وطره هو دون أي اهتمام بأحاسيس امرأته ورغبتها.
ولهذا روى في الحديث الترغيب في التمهيد للاتصال الجنسي بما يشوق إليه من المداعبة والقبلات ونحوها، حتى لا يكون مجرد لقاء حيواني محض.
ولم يجد أئمة الإسلام وفقهاؤه العظام بأسًا أو تأثيمًا في التنبيه على هذه الناحية التي قد يغفل عنها بعض الأزواج.
"Diantara hal- yang perlu diperhatikan dialam Islam iaitu jangahlah lelaki itu hanya ingin memuaskan hasratnya sendiri sahaja tanpa memperhatikan perasaan dan keinginan isterinya. Kerana itu dianjurkan oleh hadith agar melakukan pemanasan dahulu (warm-up) sebelum melakukan hubungan suami-isteri untuk membangkitkan keinginan, seperti bercumbu, berciuman dsb, sehingga tidak langsung dianggap seperti binatang. Pada Imam Islam dan Fuqaha' tidak melihat perkara ini sebagai tercela dan dosa, yang kadang-kadang dilupakan oleh sebahagian suami".

(2) Kurang ransangan suami

Syeikh Ibn Qayyim rh didalam bukunya Zaad al-Ma’aad menyebut bahawa terdapat 3 asas perhubungan seks :-

أحدها : حفظ النسل ، ودوام النوع إلى أن تتكامل العدة التي قدر الله بروزها إلى هذا العالم .
الثاني : إخراج الماء الذي يضر احتباسه واحتقانه بجملة البدن .
الثالث : قضاء الوطر ، ونيل اللذة ، والتمتع بالنعمة ، وهذه وحدها هي الفائدة التي في الجنة ، إذ لا تناسل هناك ، ولا احتقان يستفرغه الإنزال .
1. Menjaga dan meluaskan umat manusia, sehingga ia mencapai jumlah nyawa yang ditetapkan oleh Qadar Allah ciptakan didalam dunia ini.
2. Mengeluarkan air yang mungkin akan memudharatkan badan jika ia disimpan.
3. Memuaskan keinginan zahir dan menikmati keseronokan zahir, ini merupakan salah satu dari kelebihan yang akan diberikan di Syurga, kerana disana tidak ada pembikinan anak, dan tidak ada menyimpan sesuatu yang perlu dikeluarkan"

Pihak suami dan pihak isteri akan melakukan yang terbaik bagi memuaskan kemahuan masing-masing. Firman Allah swt :-

وَلَهُنَّ مِثْلُ الَّذِي عَلَيْهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
"Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." - [Surah Al-Baqarah 228].

Nabi saw bersabda :-

خيركم خيركم لأهله
"Sebaik-baik kamu ialah mereka melakukan baik kepada isterinya (keluarganya)" - [Hadith riwayat Al-Tirmudzi #3895].

Begitu dilihat perspektif seks dan rumah tangga, diantara tanggung-jawab dan kesefahaman diantara suami dan isteri, yang dilahirkan dari perasaan yang penuh ikhlas.
Syeikh Mohammad Salih al-Munajjid pernah menjawab persoalan berkenaan dengan isteri yang tidak berpuas-hati dengan layanan suami (suami yang dingin), beliau menjawab :-

وعلاج ما ذكرت يكون بالمصارحة ، وهي لا تعني إحراج الزوج ولا اتهامه بالضعف ، فإن هذه المشكلة تعود في كثير من الأحيان إلى عدم شعور الزوج بوجود المشكلة أصلاً وليس إلى ضعفه أو عجزه جنسياً ، فقد يقدم الزوج على الجماع ويترك بعض الأمور التي ينبغي له فعلها ، والتي من شأنها أن تشبع حاجة المرأة ، ولعلك تستعينين ببعض الكتب المعنية بتوضيح أسس العلاقة واللقاء بين الرجل والمرأة ، ككتاب : تحفة العروس ، لمؤلفه محمود مهدي استامبولي .
والحاصل أنه لا مانع من محاورة الزوج في هذا الأمر ، وإرشاده إلى قراءة ما يتصل بذلك . وهذه المصارحة خير من المعاناة في شيء قد يكون علاجه سهلا ميسرا .
وهذا لا يعفي المرأة من المشاركة في المسئولية ، فإن عليها ما ينبغي أن تفعله ، من التزين لزوجها والتودد له ، وترغيبه في معاشرتها .
"Penyelesaian mengenai masalah ini ialah bercakap secara terbuka/telus (speaking frankly). Ini tidak bermakna memalukan suami anda atau menuduhnya sebagai seorang lelaki yang tidak bertimbang-rasa (inconsiderate), Masalah ini biasanya berpunca dari kenyataan bahawa suami tidak sedar (not aware) langsung akan masalah ini, dan bukanlah ia tidak bertimbang rasa. Si-Suami akan terus melakukan jima' tanpa memberi perhatian kepada perkara-perkara lain yang dia harus lakukan untuk memuaskan kehendak isterinya. Mungkin lebih bermunafaat bagi kamu membaca buku mengenai subjek yang menjelaskan asas perhubungan diantara suami dan isteri seperti Tuhfat al-''Aruus oleh Mahmood Mahdi Istanbuli.

Tidak ada salahnya bercakap dengan suami anda mengenai perkara ini, dan mencadangkan agar dia pun membaca mengenainya. Bercakap secara telus adalah lebih afdal dari menangung derita didalam keadaan ini, dan masalah ini boleh diselesaikan dengan mudah.

Ini tidak bermakna wanita juga boleh terlepas dari tanggung-jawab ini. Wanita juga boleh melakukan perkara yang dia perlu lakukan, seperti mendekati suami, mentaati suami, menunjukkan perbuatan kasih-sayang dan menggalakkan dia intim kepadanya."

----------------
Islam menetapkan beberapa peraturan dan larangan termasuklah adab-adab berjima'. Kaedah dan cara yang terperinci adalah terpulang kepada kehendak pasangan tersebut dengan mematuhi batasan-batasan yang ditetapkan. Pasangan hidup hendaklah sama-sama bekerja-sama didalam sebuah rumah tangga. Sikap keterbukaan diantara suami dan isteri mestilah wujud diantara mereka bagi menyelesaikan apa sahaja masalah. Moga Puan dan suami Puan bolehlah berbincang bersama secara terbuka bagi mencari kaedah yang terbaik agar sama-sama dapat membahagiakan masing-masing. Pihak suami janganlah hanya mementingkan keinginan sendiri sahaja tanpa menghiraukan kepuasan isteri. Kedua-dua suami dan isteri bolehlah membaca buku-buku yang menerangkan tentang perhubungan intim diantara suami dan isteri dari perspektif Islam dijadikan sebagai input didalam memanaskan hubungan dingin mereka. WA.

wassalam
==============
Rujukan :-

1. Markas Fatwa Dr Abdullah Faqih. آداب الجماع . url : http://www.islamweb.net/php/php_arabic/ShowFatwa.php?lang=A&Id=3768&Option=FatwaId

2. Syiekh Dr Yusuf Al-Qaradhawi. Fatawa Muasyarah - 1 : العلاقة الجنسية بين الزوجين. cetakan ke 9. Kuwait : Dar al-Qalam, 2001. ms 483.

0 comments:

Post a Comment