*****************
w'alaikumussalam
Alhamdulillah. Ramadhan Mubarak! Kami akan cuba menjawab soalan amiera dengan kadar kemampuan yang ada.
Innaa Lillaahi wa innaa ilayhi raaji’uun , Semoga Allah swt memberi kekuatan kepada anda didalam mengharungi ujian Allah swt, Amin.
-----------
(1)Sebagaimana yang di janjikan Allah swt, keluarga yang beriman yang terdiri dari Suami, isteri dan anak-anak akan berada bersama-sama masuk kedalam syurga sebagaimana didalam Firman Allah :-
جَنَّاتُ عَدْنٍ يَدْخُلُونَهَا وَمَنْ صَلَحَ مِنْ آبَائِهِمْ وَأَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيَّاتِهِمْ وَالْمَلَائِكَةُ يَدْخُلُونَ عَلَيْهِمْ مِنْ كُلِّ بَابٍ
"Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; " - [Surah al-Ra’d 13:23].
Salah satu dari Rahmat Allah keatas makhluknya ialah, jika anaknya beriman maka dia akan menyertai bapanya di Syurga yang sama taraf walaupun mereka sendiri tidak mencapai tahap tersebut, agar bapa mendapat kegembiraan bertemu dengan anak-anak mereka. Allah swt telah berfirman :-
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَاتَّبَعَتْهُمْ ذُرِّيَّتُهُمْ بِإِيمَانٍ أَلْحَقْنَا بِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ وَمَا أَلَتْنَاهُمْ مِنْ عَمَلِهِمْ مِنْ شَيْءٍ كُلُّ امْرِئٍ بِمَا كَسَبَ رَهِينٌ
"Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya. "-[Al-Thuur 52:21].
Kenyataan ini juga dapat dilihat didalam ayat yang lain yang merupakan do'a dari para malaikat :-
رَبَّنَا وَأَدْخِلْهُمْ جَنَّاتِ عَدْنٍ الَّتِي وَعَدْتَهُمْ وَمَنْ صَلَحَ مِنْ آبَائِهِمْ وَأَزْوَاجِهِمْ وَذُرِّيَّاتِهِمْ إِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ
"Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam Syurga "Adn" yang Engkau telah janjikan kepada mereka dan (masukkanlah bersama-sama mereka): Orang-orang yang layak di antara ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka, serta keturunan mereka. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." -[Al-Ghaafir 40:8].
Begitulah keistimewaan orang-orang yang beriman. Mereka akan diketemukan bersama Suami dan isteri mereka, begitu juga dengan anak-anak mereka. Oleh itu, marilah kita sama-sama mempertingkatkan Iman dan Amal, lebih-lebih lagi didalam bulan puasa ini, moga-moga kita menjadi orang-orang yang disebut didalam firman Allah swt diatas ini.
------------------
(2) Musibah yang Allah swt turunkan kepada hambanya didunia ini, mempunyai beberapa kebaikkan didalamnya. Baik musibah itu diturunkan akibat dari dosa yang dilakukan oleh hambanya atau ia merupakan hamba Allah yang terpilih untuk diuji. Tidak kira apa sebab musibah diturunkan, natijah (keputusan) nya ada 2 :-
1. Redha dengan ujian yang Allah turunkan, lantas Allah cinta kepadanya
2. Tidak Redha atas ujian Allah, lantas tunggulah janji-janji Allah swt, kerana azab Allah swt amat pedih.
(a) Islam melihat adalah lebih baik diturunkan balasan didunia ini daripada ditangguh sehingga ke hari Akhirat. Pembalasan didunia akan menjadikan hamba Allah itu menyedari dirinya sendiri, lantas bertaubat kepadaNya, dan dihari akhirat dia akan digolongkan sebagai hambaNya yang beriman. Kerana sesungguhnya, peluang bertaubat itu hanya ada di dunia sahaja! Nabi saw bersabda :-
إذا أراد الله بعبده الخير عجَّل له العقوبة في الدنيا ، وإذا أراد بعبده الشر أمسك عنه بذنبـــه حتى يوافيه به يوم القيامة
"Apabila berkehendakkan baik keatas hambanya, Ia akan menyegerakan pembalasannya didunia, dan jika ia berkehendakan buruk keatas hambanya, dia akan menahan dosanya sehingga ia datang bersamanya pada Hari Kiamat" - [Hadith riwayat Al-Tirmudzi #2396; dikelaskan sebagai Sahih oleh Al-Albani]
Begitulah tanda-tanda kebaikkan yang Allah tunjukkan keatas hambanya dengan menurunkan pembalasan didunia dan tidak di akhirat.
(b) Musibah yang turun kepada manusia itu bagaikan ubat yang sangat pahit yang mujarab. Menurut sebuah hadith :
إنَّ عِظم الجزاء من عظم البلاء ، وإنَّ الله عز وجل إذا أحب قوماً ابتلاهم ، فمن رضي فله الرضا ، ومن سخط فله السخط
"Ganjaran yang teragung datang dari bala yang hebat, seseungguhnya Allah azza wajalla apabila dia cinta kepada sesuatu kaum ia akan menurunkan sesuatu bala bencana kepada mereka, Barangsiapa yang reda maka baginya mendapai keRedhaan Allah, dan baransiapa yang kesal/complain akan mendapat kekesalan" -{hadith riwayat Tirmudzi no:2396, Ibn Majah 4031 dan dikelaskan sahih oleh Al-Albani].
(c) Musibah akan menghapuskan dosa seseorang hamba Allah swt dan akan menaikkan darjatnya disisi Allah swt. Nabi saw bersabda :
ما من شيء يصيب المؤمن حتى الشوكة تصيبه إلا كتب الله له بها حسنة ، أو حطّت عنه بها خطيئة
"Tidak ada sesuatu perkara pun yang akan mengecewakan seorang beriman walaupun diguri duri, akan tetapi Allah saw akan merekodkan satu kebajikan baginya dan akan menghilangkan satu keburukan darinya" - [Hadith riwayat Muslim].
Didalam hadith yang lain, dari Abu Hurairah ra berkata, telah bersabda Rasulullah saw :
مَا يَزَالُ الْبَلَاءُ بِالْمُؤْمِنِ وَالْمُؤْمِنَةِ فِي نَفْسِهِ وَوَلَدِهِ وَمَالِهِ حَتَّى يَلْقَى اللَّهَ وَمَا عَلَيْهِ خَطِيئَةٌ
"Bala akan terus menimpa orang beriman lelaki dan wanita keatas diri mereka, anak-anak dan harta mereka, sehingga mereka bertemu Allah tanpa dosa keatas mereka" - [Hadith riwayat Al-Tirmudzi #2399, dikelaskan sahih oleh Al-Albani didalam al-Silsilah Al-Sahih #2290]
Sheikh Ibn Utsaimin apabila ditanya mengenai apakah musibah buruk boleh menghapuskan dosa, beliau menjawab :-
نعم كل ما يصيب الإنسان من مرض أو شدة أو همّ أو غمّ حتى الشوكة تصيبه فإنها كفارة لذنوبه ، ثم إن صبر واحتسب كان له مع التكفير أجر ذلك الصبر الذي قابل به هذه المصيبة التي لحقت به ، ولا فرق في ذلك بينما يكون عند الموت وما يكون قبله ، فالمصائب كفارات للذنوب بالنسبة للمؤمن ويدل على هذا قوله تعالى : ( وما أصابكم من مصيبة فبما كسبت أيديكم ويعفو عن كثير ) الشورى/30 فإذا كان ذلك بما كسبت أيدينا دل هذا على أنها مكفرة لما عملناه منها وكسبناه وكذلك أخبر النبي عليه الصلاة والسلام بأنه لا يصيب المؤمن هم ولا غم ولا أذى حتى الشوكة يشاكها إلا كفر الله بها عنه .
"Ya, semua penyakit, kesukaran, risau atau stress yang menimpa seseorang, walaupun diguris duri, adalah penghapus dosanya. Maka jika ia bersabar dan berharap akan ganjaran Allah swt , bukan sahaja ia akan menghapuskan dosa, malah ia akan mendapat ganjaran diatas kesabaran ia menghadapi bala yang menimpa dirinya. Tidak ada beza samada pada masa kematian atau sebelumnya. Bala adalah penghhapus dosa kepada orang yang beriman. Dalilnya didalam firman Allah swt :-
'Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.' - [al-Shoora 42:30]
Disebabkan ini adalah balasan darim akibat tangan kita sendiri, ia menunukkan satu penghapusan keatas perkara yang kita lakukan. Nabi saw khabarkan agar seseorang itu jangan bimbang. tekanan atau kesakitan yang menimpa orang Islam, walaupun sebesar duri sekali pun, Maka Allah swt akan menghapuskan dosanya itu".
(d) Ganjaran yang besar tatkala beribadat dimasa ditimpa musibah. Diriwayatkan dari Ma’qil ibn Yasaar bahawa Nabi saw bersabda :
الْعِبَادَةُ فِي الْهَرْجِ كَهِجْرَةٍ إِلَيَّ
"Ibadat dimasa tribulasi dan tidak menentu bagaikan berhijrah untuk menyertai Allah" - [Hadith riwayat Muslim #2949]
Imam Al-Nawawi didalam komentar hadith ini mengatakan bahawa ganjaran yang sebesar ini diberikan oleh Allah swt adalah kerana pasa masa tribulasi dan keadaan tidak menentu, jarang sekali manusia akan ingat kepada Allah swt.
----------------------------
Kesimpulannya, orang beriman akan masuk kedalam syurga bersama Suami, Isteri dan anak-anak mereka. Musibah yang menimba seseorang itu merupakan satu ujian dari Allah swt untuk melihat siapa dikalangan hambanya redha menerima ujian. Seseorang yang dilanda musibah hendaklah bersabar dan redha dengan apa yang Allah swt turunkan. Keredhaan ini lah yang akan meningkatkan martabat keimanan seseorang! Disamping bersabar diaats musibah, tidak putus-putuslah memohon ampun dan bertaubat kepada Allah swt, lebih-lebih kita berada di dalam bulan Ramadhan yang penuh berkat ini. wallahu'alam.
wassalam
=======
Rujukan :
1. Shiekh ibn Utsaimin. al-Fataawa al-Jaami’ah li’l-Mar’ah al-Muslimah,. Riyad : Muassasah Ibn Utsaimin, 2001. ms 1138
0 comments:
Post a Comment