Assalamualaikum ustaz,saya ingin bertanya.
- Bolehkah kita meletakkan sesuatu yang berunsur patung di dalam kenderaan? (bukan untuk tujuan permainan, tetapi perhiasan). Contohnya: key chain yang ada patung kangaroo, patung koala dan sebagainya.
- Bagaimana pula jika ia digunakan? Contohnya: Bekas tisu yang ada patung kangaroo. Contoh gambar boleh rujuk di sini: http://farm3.static.flickr.com/2577/3889228685_46a3984164_m.jpg
Sekian, mohon penerangan para asatizah.
Jazakumullahu khairan.
<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<~~~>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>
Jawapan:
الحمدلله رب العالمين و الصلاة و السلام علي أشرف الأنبياء و المرسلين
:وعلي آله وأصحابه ومن تبعهم بإحسان إلي يوم الدين ، أما بعد
Patung atau anak patung adalah objek yang sinonim dengan kanak-kanak bahkan orang dewasa samada lelaki mahupun perempuan turut menggemarinya. Bahkan menjadi satu ‘kekurangan’ apabila sebahagian daripada kita tidak mampu tidur tanpa memeluk dan menyentuh anak patung ini. Lantas kerana kesukaan dan minat yang mendalam ini, kita meletakannya dalam rumah sebagai hiasan dan kadang-kadangn menjadi objek kenang-kenangan hasil pemberian sahabat karib dan rakan taulan yang mempunyai signifikan tersendiri.
Memperkatakan tentang patung dan anak patung ini, beberapa ulama terkenal dunia masakini mempunyai pandangan masing-masing berhubung patung dan anak patung ini. Antara ulama tersohor adalah Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi, Syeikh Jaadal Haq Ali Jadal Haq dan Syeikh ‘Atiah al- Saqr.
Mengenai hukum orang Islam memiliki patung, al-Qaradawi di dalam “Fatawa Muasirah” berkata Islam sememangnya mengharamkannya, sama ada patung tersebut berbentuk manusia mahupun patung berbentuk haiwan atau binatang-binatang. Pengharaman itu menjadi lebih kuat jika patung itu merupakan makhluk yang disanjung tinggi seperti raja, nabi sepertimana Nabi Isa a.s. di kalangan orang Kristian dan lembu di kalangan orang Hindu.
Menurut beliau,terdapat satu jenis patung saja yang diharuskan dalam Islam untuk dimiliki, iaitu patung atau anak patung berbentuk mainan anak-anak. Ini berdasarkan kepada sebuah hadith Rasulullah SAW. yang menceritakan bahawa isteri baginda yang masih kecil, Saydatina Aisyah RA cenderung dan suka bermain patung.
Selain daripada itu Syeikh Gadul Haq, Bekas Syeikh al-Azhar, mengutarakan pendapat yang sama dengan Dr. Yusuff al-Qaradawi yang mana beliau membenarkan patung untuk pendidikan seperti patung mainan anak-anak dan berpendapat harus hukumnya bagi patung separuh tubuh dan mudah rosak yang diperbuatkan daripada tepung (atau bahan-bahan lembut spt plastesin dll).
Syeikh ‘Atayyah al-Saqr dalam fatwanya, pula berpendapat bahawa patung dan anak patung bagi tujuan permainan kanak-kanak, patung cepat rosak dan patung separuh badan adalah dibenarkan.
Menurut Syeikh ‘Atayyah al-Saqr lagi, Imam Malik berpendapat harus hukumnya memiliki patung yang lengkap seperti seorang manusia, tetapi dengan syarat ia berlubang walaupun sangat kecil. (untuk mencacatkannya) . Manakala Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad mengenakan syarat patung lengkap itu mesti mempunyai lubang yang besar. Ini termasuk juga patung mannequin yang digunakan untuk mempamerkan pakaian di butik-butik dan gedung-gedung pakaian.
Secara dasarnya, ulama bersepakat bahawa patung dianggap harus jika ada faedah seperti untuk mainan anak-anak dan dan dianggap haram jika digunakan untuk penyembahan.
Merujuk juga kepada fatwa Negeri Kedah Darul Aman; Mengukir/membuat patung –patung manusia dan binatang adalah haram kecuali untuk permainan kanak-kanak atau bagi tujuan pendidikan , pembelajaran atau pengetahuan. Pekerjaan membuat patung mainan dan pendidikan adalah harus pada syarak.
Dr. Yusoff al-Qardhawi sekali lagi dalam Bukunya Halal dan Haram Dalam Islam menyebutkan bahawa Islam mengharamkan dalam rumahtangga Islam meliputi masalah patung. Sebab adanya patung dalam suatu rumah, menyebabkan Malaikat akan jauh dari rumah itu, padahal Malaikat akan membawa rahmat dan keredhaan daripada Allah SWT untuk isi rumah tersebut.
Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:
"Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya ada patung." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Ulama-ulama berkata: Malaikat tidak akan memasuki rumah yang terdapat patung, karena pemiliknya itu menyerupai sifat orang kafir, di mana pada kebiasaannya mereka akan meletakkan patung dalam rumah-rumah mereka untuk diagung dan disembah.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
"Sesungguhnya orang yang paling berat siksaannya nanti di hari kiamat, yaitu orang-orang yang menggambar gambar-gambar ini. Dalam satu riwayat dikatakan: Orang-orang yang menandingi ciptaan Allah." (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
Dan Rasulullah SAW menjelaskan dengan terperinci dalam sebuah hadithnya:
"Barangsiapa yang membuat gambar (patung), nanti pada hari kiamat dia akan dipaksa untuk meniupkan roh padanya; padahal dia selamanya tidak akan mampu meniupkan roh itu." (Riwayat Bukhari)
Sekian والله أعلم
Disediakan oleh:
Ustaz Mohamad Shukry Sulaiman
Ahli Panel MUIS
Sumber: http://muis.ismaweb.net/2010/05/letak-sesuatu-berunsur-patung-dalam-kenderaan/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
4 comments:
Assalamualaikum ustaz,
Saya ingin bertanya, bagaimana sekiranya jika di rumah saya memiliki byk patung tidak kira pelbagai bentuk dan rupanya, kecil dan besar. Saya tidak menggunakkannya sebagai perhiasan sebaliknya meyimpannya didalam almari tanpa menggunakannya. Apabila diperlukan dan ingin menggunakan ia barulah di bawa keluar. Adakah malaikat tidak akan masuk dalam rumah saya. Maka perlukah saya membuang segera patung-patung tersebut? Bagaimana pula jika perhiasan seperti gambar-gambar kami sekeluarga di dalam rumah sebagai perhiasan? Apakah hukumnya?
Sekian.
Sebaiknya janganlah disimpan dalam bilangan yang banyak jika tidak digunakan untuk tujuan mainan anak-anak. Bergantung kepada apa tujuan ianya digunaka? untuk mainan anak-anak, untuk tujuan pelajaran dan pengetahuan adalah dibenarkan, ulamak dengan jelas menegah kalau untuk tujuan perhiasan dan lain-lain. WA
"Barangsiapa yang membuat gambar (patung), nanti pada hari kiamat dia akan dipaksa untuk meniupkan roh padanya; padahal dia selamanya tidak akan mampu meniupkan roh itu."
bolehkan terangkan dengan lebih terperinci akan hal yang berkaitan dengan ayat ini kerana saya kurang faham akan maksud disebaliknya.
salam..saya nak tnye..bole tak klu ptung sperti spongebob atau bear dijadikan bantal(tidak diangkat darjatnya) dan dipotong salah satu anggotanya supaya tak sempurna. sebab sye dgr, ptung tdk boleh disimpan jika di agung2kan atau dlm keadaan yg smpurna..
Post a Comment