Dec 22, 2008

Ibu Dan Ayah Yang Mana Lebih Ditaati

Salam

disini saya ingin bertanya siapakah yg lebih wajib ditaati....ibu atau ayah?????
dan bagaimana pula jika ibunya telah tiada?
dan apakah hukumnya jika seorang ayah memutuskan perhubungan antara ayah dan anak?

**********************
وعليكم السلام و رحمة الله وبركاتهم
{ بسم الله الرحمن الرحيم }
(( رب إشرح لي صدري و يسرلي أمري وأحلل عقدة من لساني يفقهوا قولي ))


Alhamdulillah , Segala Puja – Puji hanyalah milik Allah Ta’ala semata-mata. Selawat dan salam ke atas Baginda Rasulullah s.a.w, ahli keluarga baginda yang suci, para sahabat yang kesemua mereka itu merupakan golongan yang amat mulia, para ulama’ yang mukhlisin , para mujahidin di Jalan Allah Ta’ala dan seluruh muslimin. Amin.

Terima Kasih kepada Saudari najwa_shakira1 yang mengemukakan soalan di atas .

Jawapannya : SI IBU LEBIH BERHAK DI TAATI BERBANDING SI AYAH .

Dalil-dalilnya adalah sebagai mana berikut ini dan disertakan bersama-sama dengan huraian ringkas .

( A ) - Firman Allah Ta’ala di dalam Surah Luqman , ayat 31 :

وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ

Ertinya : “Dan Kami perintahkan kepada manusia ( agar berbuat baik) kepada dua orang ibu-bapanya ; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah , dan menyusukannya dalam masa dua tahun . Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu-bapamu, hanya kepada-Kulah kembalimu.

( B ) - Firman Allah Ta’ala lagi di dalam Surah Al-Ahqaf , ayat 15 :

وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا حَتَّى إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Ertinya : Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua orang ibu-bapanya, ibunya mengandungnya dengan susah payah, dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Mengandungnya sampai menyusukannya adalah tiga puluh bulan, sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun ia berdo'a: "Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapakku dan supaya aku dapat berbuat amal yang saleh yang Engkau redhai , berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak-cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri".

( C ) – Hadist Baginda Rasulullah s.a.w :

عَنْ بَهْزِ بْنِ حَكِيمٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ أَبَرُّ قَالَ أُمَّكَ ثُمَّ أُمَّكَ ثُمَّ أُمَّكَ ثُمَّ أَبَاكَ ثُمَّ الْأَقْرَبَ فَالْأَقْرَبَ

Ertinya : Sebuah hadist yang diriwayatkan oleh Saidina Bahz , dari ayahnya dan dari datuknya yang pernah berkata : “ Wahai Rasulullah ! Siapakah yang ( lebih selayaknya ) saya berbuat baik kepadanya ? “ , Jawab Baginda Rasulullah s.a.w : “ Ibumu , kemudian Ibumu , kemudian Ibumu , kemudian barulah ayahmu . Kemudian kaum keluargamu yang paling hampir dan seterusnya lain-lain drp kaum keluargamu “ ~ Hadist sahih diriwayatkan oleh Al-Imam Abu Daud rh dan diriwayatkan juga oleh Al-Imam Muslim rh dan Al-Imam At-Tirmidzi rh .

### HURAIAN RINGKAS ### :

Daripada dalil-dalil A- C inilah para ulama’ rh telah membuat kesimpulan bahawa seseorang ibu itu lebih berhak ditaati daripada seorang ayah . Dan jika panggilan ayah sebanyak 3 kali adalah menyamai panggilan sekali daripada si ibu .

Dan seseorang anak yang sedang mengerjakan solat sunat ( sbg contohnya ) WAJIB MENGHENTIKANNYA tatkala ibunya memanggilnya . Kerana menyahut panggilan ibunya lebih patut diutamakan berbanding melakukan solat sunat .

Bahkan ada juga para ulama’ rh yang mengatakan bahawa si anak HENDAKLAH MENGHENTIKAN SOLAT YANG FARDHU YANG BOLEH DITUNAIKAN SEMULA selepas memenuhi hajat ibunya .

Namun , sebahagian ulama’ rh pula menyatakan bahawa hal ini dibolehkan jikalau dibimbangi si ibu berada di dalam keadaan kecemasan . ~ ( Lihat Tafsir Al-Imam Al-Qurtubi rh : Surah Luqman , ayat 15 ) .

( D ) – Hadist Baginda Rasulullah s.a.w :

حَدِيثُ الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ : عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ حَرَّمَ عَلَيْكُمْ عُقُوقَ الْأُمَّهَاتِ وَوَأْدَ الْبَنَاتِ وَمَنْعًا وَهَاتِ وَكَرِهَ لَكُمْ ثَلَاثًا قِيلَ وَقَالَ وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ وَإِضَاعَةَ الْمَالِ

Ertinya : Diriwayatkan daripada Saidina al-Mughirah bin Syu'bah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: “ Sesungguhnya Allah s.w.t telah mengharamkan ke atas kamu menderhaka kepada ibu, menanam anak perempuan hidup-hidup, tidak mahu memberi miliknya tetapi meminta-minta milik orang lain dan ditegahkan ke atas kamu tiga perkara, iaitu mengada-ngadakan cerita, banyak bertanya dan membazirkan harta ~ Hadits sahih diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari rh dan Al-Imam Muslim rh - { Al-Manhal al-Hadist , Vol- II , ms 221 drp Kitab al-Buyuu’ ) .

### HURAIAN RINGKAS ### :

Mengapakah disebut ibu dan tidak pula disebut bapa ? .

Para ulama’ kita rahimahumulLahu memberikan beberapa sebab , di antaranya :

1 – Disebut si ibu dan tidak disebut si bapa kerana si ibu lebih banyak menanggung beban membesarkan anak-anaknya .

2 – Disebabkan si ibu lebih mudah terasa hati dan seorang yang lembut .

3 – Disebabkan si ibu lebih patut diutamakan dan ditaati berbanding si bapa .

4 – Sebagai penghormatan kepada kaum wanita dan sekaligus menafikan kata-kata golongan “ Women Liberation “ ( Gerakan Pembebasan Wanita ) yang menuduh bahawa agama Islam adalah agama yang menindas kaum wanita .

5 – Sebagai satu kemuliaan bagi kaum wanita . Di dalam Al-Quranul Karim sendiri ada Surah An-Nisa’ ( Kaum Wanita ) tetapi tiada pula Surah Ar-Rijal ( Kaum Lelaki ) , sebagai mana diabadikan nama-nama wanita solehah sebagai nama surah seperti Surah Maryam .

6 – Apabila disebut ibu, maka ia juga termasuk di dalam erti kata si bapa . Sebab kedua-duanya adalah “Kedua-Orang tua kita “ . Sebagai mana di dalam Al-Quranul Karim disebut “ Wahai orang-orang yang beriman ! “, asal panggilan ayat ini adalah untuk kaum lelaki , akan tetapi ianya juga merangkumi untuk kaum wanita yang beriman .

( E ) – Hadist Baginda Rasulullah s.a.w :

Saidina Abu Hurairah ( r.a ) selaku seorang sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadist-hadist Baginda Rasulullah s.a.w pernah menceritakan :

حَدِيثُ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : كَانَ جُرَيْجٌ يَتَعَبَّدُ فِي صَوْمَعَةٍ فَجَاءَتْ أُمُّهُ قَالَ حُمَيْدٌ فَوَصَفَ لَنَا أَبُو رَافِعٍ صِفَةَ أَبِي هُرَيْرَةَ لِصِفَةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُمَّهُ حِينَ دَعَتْهُ كَيْفَ جَعَلَتْ كَفَّهَا فَوْقَ حَاجِبِهَا ثُمَّ رَفَعَتْ رَأْسَهَا إِلَيْهِ تَدْعُوهُ فَقَالَتْ يَا جُرَيْجُ أَنَا أُمُّكَ كَلِّمْنِي فَصَادَفَتْهُ يُصَلِّي فَقَالَ اللَّهُمَّ أُمِّي وَصَلَاتِي فَاخْتَارَ صَلَاتَهُ فَرَجَعَتْ ثُمَّ عَادَتْ فِي الثَّانِيَةِ فَقَالَتْ يَا جُرَيْجُ أَنَا أُمُّكَ فَكَلِّمْنِي قَالَ اللَّهُمَّ أُمِّي وَصَلَاتِي فَاخْتَارَ صَلَاتَهُ فَقَالَتِ اللَّهُمَّ إِنَّ هَذَا جُرَيْجٌ وَهُوَ ابْنِي وَإِنِّي كَلَّمْتُهُ فَأَبَى أَنْ يُكَلِّمَنِي اللَّهُمَّ فَلَا تُمِتْهُ حَتَّى تُرِيَهُ الْمُومِسَاتِ قَالَ وَلَوْ دَعَتْ عَلَيْهِ أَنْ يُفْتَنَ لَفُتِنَ قَالَ وَكَانَ رَاعِي ضَأْنٍ يَأْوِي إِلَى دَيْرِهِ قَالَ فَخَرَجَتِ امْرَأَةٌ مِنَ الْقَرْيَةِ فَوَقَعَ عَلَيْهَا الرَّاعِي فَحَمَلَتْ فَوَلَدَتْ غُلَامًا فَقِيلَ لَهَا مَا هَذَا قَالَتْ مِنْ صَاحِبِ هَذَا الدَّيْرِ قَالَ فَجَاءُوا بِفُؤُوسِهِمْ وَمَسَاحِيهِمْ فَنَادَوْهُ فَصَادَفُوهُ يُصَلِّي فَلَمْ يُكَلِّمْهُمْ قَالَ فَأَخَذُوا يَهْدِمُونَ دَيْرَهُ فَلَمَّا رَأَى ذَلِكَ نَزَلَ إِلَيْهِمْ فَقَالُوا لَهُ سَلْ هَذِهِ قَالَ فَتَبَسَّمَ ثُمَّ مَسَحَ رَأْسَ الصَّبِيِّ فَقَالَ مَنْ أَبُوكَ قَالَ أَبِي رَاعِي الضَّأْنِ فَلَمَّا سَمِعُوا ذَلِكَ مِنْهُ قَالُوا نَبْنِي مَا هَدَمْنَا مِنْ دَيْرِكَ بِالذَّهَبِ وَالْفِضَّةِ قَالَ لَا وَلَكِنْ أَعِيدُوهُ تُرَابًا كَمَا كَانَ ثُمَّ عَلَاهُ

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Seorang yang bernama Juraij sedang mengerjakan ibadat di sebuah biara . Lalu ibunya datang memanggilnya. Humaid berkata: Abu Rafi' pernah menerangkan kepadaku mengenai bagaimana Abu Hurairah meniru gaya ibu Juraij ketika memanggil anaknya, sebagaimana beliau mendapatkannya daripada Rasulullah s.a.w iaitu dengan meletakkan tangannya di bahagian kepala antara dahi dan telinga serta mengangkat kepalanya: Hai Juraij! Aku ibumu, jawablah panggilanku. Ketika itu perempuan tersebut mendapati anaknya memulakan sembahyang. Dengan keraguan Juraij berkata kepada diri sendiri: Ya Tuhan, ibuku atau sembahyangku. Tetapi Juraij telah memilih untuk meneruskan sembahyangnya. Tidak berapa lama selepas itu, perempuan tersebut pergi untuk yang kedua kalinya. Beliau memanggil: Hai Juraij! Aku ibumu, jawablah panggilanku. Juraij bertanya lagi kepada diri sendiri: Ya tuhan, ibuku atau sembahyangku. Tetapi beliau masih lagi memilih untuk meneruskan sembahyangnya. Oleh kerana terlalu kecewa akhirnya perempuan itu berkata: Ya tuhan, sesungguhnya Juraij adalah anakku. Aku sudah memanggilnya berulang kali, namun ternyata beliau enggan menjawabnya. Ya tuhan, janganlah Engkau matikan beliau sebelum beliau mendapat fitnah yang disebabkan oleh perempuan pelacur. Pada suatu hari seorang pengembala kambing sedang berteduh di biara Juraij yang letaknya jauh terpencil dari orang ramai. Tiba-tiba datang seorang perempuan dari sebuah dusun yang juga sedang berteduh di tempat tersebut. Kemudian keduanya melakukan perbuatan zina, sehingga melahirkan seorang anak. Ketika ditanya oleh orang ramai: Anak dari siapakah ini؟ Perempuan itu menjawab: Anak dari penghuni biara ini. Lalu orang ramai berduyun-duyun datang kepada Juraij. Mereka membawa besi perejang. Mereka berteriak memanggil Juraij, yang mana pada waktu itu sedang bersembahyang. Maka sudah tentu Juraij tidak melayani panggilan mereka, akhirnya mereka merobohkan bagunan biaranya. Tatakala melihat keadaan itu, Juraij keluar menemui mereka. Mereka berkata kepada Juraij: Tanyalah anak ini. Juraij tersenyum, kemudian mengusap kepala anak tersebut dan bertanya: Siapakah bapamu؟ Anak itu tiba-tiba menjawab: Bapaku adalah seorang pengembala kambing. Setelah mendengar jawapan jujur dari anak tersebut, mereka kelihatan menyesal, lalu berkata: Kami akan memdirikan biaramu yang kami robohkan ini dengan emas dan perak. Juraij berkata: Tidak payahlah, biarkan ia menjadi debu seperti asalnya. Kemudian Juraij meninggalkannya“ ~ Hadist sahih diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari rh dan Al-Imam Muslim rh .

### HURAIAN RINGKAS ### :

Pengajaran daripada hadits ini ialah : Ibu-bapa ( lebih-lebih lagi si ibu ) hendaklah jangan mudah sangat mengeluarkan kata-kata yang seolah-olah mengutuk / mengeji si anak , kerana dikhuatiri sewaktu kata-kata itu dilemparkan oleh si ibu , masa itu jugalah saat doa itu dimakbulkan Allah Ta’ala .

Bersabar dengan banyak itu lebih baik daripada cepat-cepat “ celupar mulut “ sehingga boleh membinasakan si anak .

Apakah jika anak itu menjadi “mala’un “ ( yang dilaknat ) , “ haram-jadah “ , #$@&()&^%$_+ ………dan sebagainya boleh menjadikan ibu-bapanya bahagia !? . Tidak sama sekali !!! .

Awasilah mulut-mulut anda wahai kaum ibu . Sabarlah banyak-banyak . Jangan lupa mendoakan yang baik-baik untuk anak-anakmu . Mudah-mudahan anak-anakmu akan menjadi manusia yang berguna untuk agama , bangsa dan negara . Amin Ya Rabbal ‘Alamin .

( F ) – Hadist Baginda Rasulullah s.a.w :

عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ جَاهِمَةَ السَّلَمِيِّ أَنَّ جَاهِمَةَ جَاءَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَدْتُ أَنْ أَغْزُوَ وَقَدْ جِئْتُ أَسْتَشِيرُكَ فَقَالَ هَلْ لَكَ مِنْ أُمٍّ قَالَ نَعَمْ قَالَ فَالْزَمْهَا فَإِنَّ الْجَنَّةَ تَحْتَ رِجْلَيْهَا

Ertinya : Dari Saidina Mu’awiyah Bin Saidina Jahimah as-Sallami r.a . Sesungguhnya Saidina Jahimah r.a pernah datang menemui Baginda Rasulullah s.a.w dan berkata : “ Wahai Utusan Allah ! , saya hendak berperang dan datang ini untuk meminta izin tuan “ . Maka Baginda Rasulullah s.a.w pun bertanya : “ Adakah kamu masih mempunyai ibu ? “ . “ Ya “ , jawab Saidina Jahimah . Sabda Baginda s.a.w : “ Duduklah di sampingnya ( berbuat kebajikanlah kepadanya ) kerana syurga itu di bawah telapak kakinya .  ~ Hadis sahih diriwayatkan oleh Al-Imam An-Nasaie rh [ 2 / 54 ] , Al-Imam At-Tobrani rh [ 1 / 225 / 2 ] , Al-Imam Al-Hakim rh [ 4 / 151 ] dan disahkan oleh Al-Imam az-Zahabi rh dan Al-Imam al-Mundziri rh [ 3 / 214 ].

### HURAIAN RINGKAS ### :

Perang yang dimaksudkan di dalam hadist di atas ialah perang yang bertaraf fardhu kifayah . Namun apabila tentera musuh sudah bermaharaja-lela dan pasukan tentera negara pun sudah tidak terdaya mempertahankan ibu pertiwi , di saat itu perang menjadi fardhu ‘ain . Dan apabila sudah menjadi fardhu ‘ain , maka tidak perlu lagi memohon izin daripada ibu-bapa .

Erti hadist ini juga ialah : REDHA ALLAH TA’ALA TERLETAK PADA REDHANYA SI IBU DAN SI BAPA TERHADAP ANAK-ANAK MEREKA [/color][/b] . Dan ini sama-sekali tidaklah bermakna bahawa kita menyembah si ibu dan si bapa ataupun meletakkan mereka berdua di tahap yang sama dengan Allah Ta’ala , tidak sama sekali !!! . Tetapi menunjukkan ada hak-hak yang menjadi milik mutlak Allah Ta’ala ( seperti tidak boleh mensyirikan-Nya dan tidak boleh berdusta di atas nama-Nya ) dan ada pula hak-hak terhadap ibu-bapa yang juga boleh menyebabkan Allah Ta’ala itu redha ataupun murka kepada si anak .

( G ) – Sebuah hadist lemah ada menyebut :

الْجَنَّة تَحْت أَقْدَام الْأُمَّهَات

Ertinya :  “ Syurga itu dibawah telapak kaki para ibu “ ~ Hadits Dhoi’ef ( Lemah ) diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Qadhoi’e rh [ 1 / 119 ] , Jamie’ oleh Al-Imam al-Khatib al-Baghdadi rh [ 2 / 289 ] , Al-Muhaddits Syeikh Al-Albani rh [ Dho’ief al-Jamie’ : 26666 ] & [ Silsilah ad-Dho’eifah : 2 / 593 ] . Lihat juga Al-Jamie’ as-Soghir oleh Al-Imam as-Suyuthi rh [ 3642 ] .

### HURAIAN RINGKAS ### :

Hadist di atas disenaraikan sebagai hadist yang lemah , dan ini tidaklah bermakna bahawa kita menolak bulat-bulat isi dan pengajaran hadist ini . Kita menerima isinya kerana ada hadist yang sahih yang mempunyai erti yang sama dengan hadis ini ( Sila lihat hadist F ) dan ianya kita terima kerana secocok dengan inti-pati ajaran agama kita yang memerintahkan kita agar selalu berbuat baik kepada kedua-dua ibu-bapa.

Hadist Lemah ( Dhoi’ef ) ertinya kita tidak dapat yakin 100 % bahawa Nabi s.a.w pernah bercakap sedemikian rupa ( “ sebijik “ macam tu – kata orang-orang kita ) . Namun walaupun ianya tidak pernah dituturkan “ sebiji “ seperti itu oleh Baginda Rasulullah s.a.w , akan tetapi isinya tetap betul .

Kalau salah-seorang daripada mereka berdua ataupun kedua-dua mereka memerintahkan agar kita berbuat dosa ataupun syirik , maka di waktu itu kita tidak diwajibkan mentaatinya bahkan wajib pula menegur mereka dengan cara yang baik . Firman Allah Ta’ala menerangkan hal ini di dalam Surah Luqman , ayat ke-15 :

وَإِن جَاهَدَاكَ عَلى أَن تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

 Ertinya : Dan jika keduanya memaksamu agar engkau mempersekutukan ( syirik ) terhadap Aku dengan sesuatu yang tidak ada pengetahuanmu tentang itu, maka janganlah kamu mengikuti keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepada-Ku, kemudian hanya kepada-Kulah kembalimu, maka Kuberitakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.

Baginda Rasulullah s.a.w juga telah memberi ancaman dan amaran kepada kita :

عَلِيٍّ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا طَاعَةَ لِمَخْلُوقٍ فِي مَعْصِيَةِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ عن

Ertinya : Saidina ‘Ali r.a meriwayatkan daripada Baginda Rasulullah s.a.w sebuah hadist iaitu : “ Tidak boleh sama-sekali taat kepada mana-mana makhluk di dalam urusan menderhakai Allah ‘Azza Wa Jalla !!! “ ~ Hadist sahih diriwayatkan oleh Al-Imam Ahmad rh dan Al-Imam at-Tirmidzi rh .

*********************************

Jawapannya : Jikalau ibu sudah tiada , maka ini tidaklah bermakna kita tidak perlu mentaati si bapa pula . Jika si bapa juga tiada , kewajipan mentaati datuk-nenek pula tidaklah gugur .

Cuba lihat kembali perintah Baginda Rasulullah s.a.w mengenai hal ini di dalam ( C ) – Hadist Baginda Rasulullah s.a.w : !!! .

*********************************
Quote:
dan apakah hukumnya jika seorang ayah memutuskan perhubungan antara ayah dan anak?

Jawapannya : Hukumnya adalah HARAM kerana ia termasuk di dalam kategori memutuskan silatur-rahim . KECUALILAH jika disebabkan salah-seorang drp keduanya itu murtad . Contohnya : Si ayah menjadi murtad lalu memutuskan hubungannya dengan anaknya disebabkan anaknya tidak mahu turut sama murtad . Ataupun si anak menjadi murtad dan tidak mahu bertaubat dan kembali ke pangkuan agama Islam dan keluarganya yang bergama Islam .

Jika si ayah pernah memutuskan hubungan dengan si anak ( bukan disebabkan berlainan agama ) , maka hendaklah si anak itu kembali mencari jalan menemui kembali ayahnya . Dan si anak tidak perlu dan tidak dituntut untuk mengungkit-ungkit kembali kesalahan silam ayahnya .

Untuk apa diungkit kisah lalu yang memedihkan ? . Mulakan hidup baru dengan berbaik-berbaik semula dengan si ayah . Bukankah setiap manusia itu pasti ada melakukan kesilapan dan kesalahan dan orang-orang yang paling baik drp kalangan mereka itu ialah orang-orang yang bertaubat , insaf dan kembali ke pangkal jalan ??!!! .

Jika si ayah dahulunya pernah bersikap tidak wajar terhadap anaknya dan ibu anaknya , maka tidaklah bermakna sekarang pun dia tetap begitu . Bukankah hati manusia ini mudah berubah ??? .

Dalam keadaan ramai manusia yang mengimpikan suasana keluarga yang bahagia dan adanya kedua-dua ibu-bapa , maka mengapakah pula ada di kalangan kita yang mahu hidup tanpa adanya kasih-sayang dan perhatian daripada ayahnya ( ataupun ibu-bapanya ) !!?? .

“ Buanglah yang keruh dan ambillah yang jernih “ .

Semoga Allah Ta’ala menyelamatkan kita semua daripada segala keruntuhan iman dan keruntuhan moral . Amin Ya Rabbal ‘Alamin .

Sekian . Wallahu A’alam Bis Sowab
Wahuwa Yahdi Ila Sabilir Rasyad .

****************************************
RUJUKAN & SARANAN PEMBACAAN

1 – AL-MANHAL al-HADIST ( Vol II , ms 275 )
[ Himpunan Hadist-Hadist Sahih Imam Al-Bukhari rh – Teks Pengajian Di Sekolah-Sekolah Al-Azhar , Mesir]
Susunan & Huraian : Al-‘Allamah Prof. Dr. Musa Syahih Lasyin r.a
Terbitan : Darul Shurook , Kaherah

2 – AL-JAMIE’ as-SOGHIR
Oleh : Al-Imam al-Hafidz as-Suyuthi rh
Terbitan : Maktabah Mustafa Nazar al-Baz, Riyadh

3 – MAUSU’AH AL-QURANUL KARIM
[ Tafsir al-Jalalain , at-Tobari , al-Qurtubi & Ibn Katsir ]
ESC Soft ~ Cairo

4 – AL-BAYAN FIMATTAFAQO ‘ALAIH asy-SYAIKHANI RH
Sakhr Software ~ Cairo

5 – MAUSU’AH al-HADIST asy-SYARIF
Sakhr Software ~ Cairo

6 – SILSILAH al-AHADITS adh-DHO’IEFAH ( Vol II , ms 593 )
Oleh : Al-Muhaddist Asy-Syeikh Al-‘Allamah Muhammad Nasiruddin Al-Albani rh
Maktabah Al-Ma’arif , Riyadh

0 comments:

Post a Comment