Jul 21, 2009

Pondan, Khunsa, Mukhannath Dari Perspektif Dalil

SOALAN:
zakieffendi

Assalamualaikum,

2 soalan, ya panel Al-Ahkam...

i) Betulkah semasa riwayat Nabi Muhammad SAW, golongan pondan atau mukhannath ini sudah ada, dan apakah tindakan Nabi terhadap mereka. Tolong berikan sedikit nas dalil dan hujah

ii) Jika lihat hari ini, golongan pondan ini sudah berleluasa di KL dan semakin menjadi-jadi. Bolehkah dalam Islam, golongan ini melakukan pembedahan 'sex-change' untuk menepati naluri mereka?


********************
JAWAPAN:
albaruhiyy
Panel Feqh

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد :

Pertama, perlu bezakan antara pondan dan khunsa..

1. Pondan (mukhannath)
Mereka ialah orang lelaki yang menyerupai wanita dari segi bentuk tubuh, pergerakan, percakapan dan lain-lain.

Memang benar ia sudah wujud pada zaman Nabi s.a.w.
Tindakan Nabi ialah perintah supaya mukhannath dikeluarkan daripada rumah.
al-Bukhari menyebut dalam bab “ikhraj al-mutashabbihin bi al-nisa’ min al-buyut” (bab mengeluarkan orang-orang lelaki yang menyerupai wanita daripada rumah) satu hadith riwayat Ibn Abbas bahawa beliau berkata : “Nabi s.a.w melaknat al-mukhannathin (yang menyerupai wanita) dari kalangan lelaki dan melaknat al-mutarajjilat (mereka yang menyerupai lelaki) dari kalangan wanita. Dan Nabi bersabda : “Keluarkan mereka dari rumah-rumahmu”. Kata Ibn Abbas :

لعن النبي صلى الله عليه وسلم المخنثين من الرجال والمترجلات من النساء
“Nabi s.a.w telah mengeluarkan seorang lelaki dan Umar pernah mengeluarkan seorang wanita”. [al-Bukhari, Kitab al-Libas, Bab 62 dalam Fath al-Bari 10/333].

Kemudia disebut pula hadis Ummu Salamah dalam bab “Ma Yunha min dukhul al-mutashabbihin bi al-nisa’ ala al-mar’ah”. Bab tentang larangan masuk orang lelaki yang menyerupai wanita ke tempat wanita”.

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّ النَّبِىَّ - صلى الله عليه وسلم - كَانَ عِنْدَهَا وَفِى الْبَيْتِ مُخَنَّثٌ ، فَقَالَ الْمُخَنَّثُ لأَخِى أُمِّ سَلَمَةَ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِى أُمَيَّةَ إِنْ فَتَحَ اللَّهُ عَلَيْكُمُ الطَّائِفَ غَدًا أَدُلُّكَ عَلَى ابْنَةِ غَيْلاَنَ ، فَإِنَّهَا تُقْبِلُ بِأَرْبَعٍ وَتُدْبِرُ بِثَمَانٍ . فَقَالَ النَّبِىُّ - صلى الله عليه وسلم - « لاَ يَدْخُلَنَّ هَذَا عَلَيْكُنَّ » .
Daripada Ummu Salamah bahawa Nabi s.a.w. ada di sisinya. Sedangkan dalam rumah itu ada mukhannath (pondan). Kata pondan tadi kepada Abdullah bin Abi Umayyah, saudara Ummu Salamah : “Jika Allah membuka bagi kamu esok bumi Taif, nescaya aku tunjukkan kamu anak perempuan Ghaylan,dia menghadap dengan empat dan membelakangimu dengan lapan. Nabi s.a.w pun bersabda : “Jangan kamu membawa masuk ini ke atas kamu”.
Kata al-Nawawi :

معنى قوله تقبل بأربع وتدبر بثمان أى أربع عكن وثمان عكن قالوا ومعناه أن لها أربع عكن تقبل بهن من كل ناحية اثنتان ولكل واحدة طرفان فاذا أدبرت صارت الأطراف ثمانية

Ertinya : “Dan maksud perkataan “dia menghadap dengan empat dan membelakangimu dengan lapan” ialah empat ukan yakni (ketulan daging yang zahir dari depan disebabkan kegemukan) dan lapan ukan.

Mengapa Nabi memerintahkan agar dihalau?
Kerana mereka ini membawa kerosakan lebih banyak seperti suka menyifatkan tubuh wanita yang dilihatnya kepada lelaki ajnabi ataupun mungkin ahli keluarga boleh terpengaruh dengannya sama ada dalam segi percakapan, pergerakan dan kesemuanya boleh membawa kepada kemungkaran.

2. Haram melakukan pembedahan untuk menukar jantina. Ini kerana perbuatan ini mendatangkan mafsadah atau kerosalan yang besar. Ia juga satu bentuk pencerobohan terhadap penciptaan Allah Taala hanya semata-mata kerana mengikut naluri yang palsu dan bohong.

Dalam fatwa Lajnah Da’imah atau Lembaga Tetap Penyelidikan Akademik dan Fatwa di Arab Saudi menyebut pengharaman operasi pembedahan seperti ini.
Lihat :

Al-Shanqiti, Ahkam al-Jirahah al-Tibbiyyah hlm 202.

Fatawa al-Lajnah al-Da’imah li al-Buhuth al=Ilmiyyah wa al-Ifta’ 25/37-38, fatwa no 2688.

3. Khunsa
Dari segi istilah, khunsa ialah orang yang mempunyai dua alat kelamin lelaki dan wanita. Mungkin juga mereka yang memang dilahirkan tanpa alat kelamin. Kejadiannya adalah semulajadi, ini berbeza dengan pondan atau mukhannath. Boleh rujuk dalam arkib lepas :

http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=MDForum&file=viewtopic&t=36049&highlight=khunsa (lihat di bawah)

Khunsa terbahagi kepada dua. Musykil dan tidak musykil

Tidak Musykil ialah yang jelas padanya tanda-tanda jantina sama ada lelaki atau perempuan. Maka ia dihukumkan mengikut yang mana jelas. Kalau lelaki, lelaki lah, kalau perempuan, perempuanlah.

Musykil pula ialah yang tidak jelas padanya tanda-tanda tersebut sama ada ada dua alat dan sama kuat tanda-tanda lelaki atau perempuan. Atau jenis satu lagi yang tiada alat langsung, Cuma ada lubang untuk kencing sahaja.

Menurut majoriti fuqaha’, orang khunsa sebelum balighnya dilihat, jika kencing dari alat kelamin lelaki maka ia dianggap lelaki. Sebaliknya, akan dianggap perempuan, jika kencing dari alat perempuan.

Jika selepas baligh pula, kena lihat tanda-tanda berikut : , Jika tumbuh janggut, atau keluar mani dari zakar atau menghamilkan wanita, maka ia dianggap lelaki. Begitu juga zahirnya tanda-tanda keberanian dan kepahlawanan sepertimana yang disebut al-Suyuti.

Manakala jika zahir buah dada, ada susu atau keluar haid atau boleh dijimak maka ia adalah wanita.

Jika kesemua tanda-tanda berikut lemah atau sukar ditentukan, maka lihat kecenderungannya…jika lebih ke arah lelaki, hukumkan sebagai lelaki. Jika ke arah perempuan pula, maka hukumkan ia perempuan.

[Lihat al-Mawsu’ah al-Fiqhiyyah 20/hlm 21-23]


************************************************
http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=MDForum&file=viewtopic&t=36049&highlight=khunsa (lihat di bawah)

Keliru Tentang Khunsa

yukitada
Salam

Saya ada melihat beberapa pandangan panel ahkam berkenaan maknyah/pondan/khunsa. Namun sy masih kurang ‘clear’ bbrpa jawapan muktamad .

Benarkah rumusan saya ini bahawa lelaki yang dilahirkan anggota sulit lelaki namun pembawaan dirinya/naluri lebih kepada perempuan , kita kategorikan sebagai khunsa ? Secara tak langsung kita ‘merelakan’ golongan ini ke arah keperempuanan ? sprt melakukan pembedahan kemaluan dll. Sekiranya begitu maknyah2 yg melambak kat chow kit dll tu betullah ye ? Mula2 mcm sy fhm tp bile ade org ajukan soalan terus ‘pening’ nk jwb. Syukran.



******************
izrail
Panel Feqh

Bismillah
Wassolatu wassalam 'ala Rasulillah SAW,

Takrif Khunsa ialah:


مَنْ لَهُ آلَتَا الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ , أَوْ مَنْ لَيْسَ لَهُ شَيْءٌ مِنْهُمَا أَصْلًا , وَلَهُ ثُقْبٌ يَخْرُجُ مِنْهُ الْبَوْلُ .

"Orang yang mempunyai dua alat kelamin lelaki dan perempuan atau orang yang tiada langsung mempunyai kedua-duanya dan hanya mempunyai lubang untuk membuang air kecil".

Dalam Bahasa Inggeris dipanggil: Hermaphrodite.

Wallahu a3lam

Rujukan:
- Mausua'ah Fiqhiyyah Kuwaitiah: 20/22
- Mu'jam Lughatul Fuqaha': m/s 201

Aqad Nikah Diwakilkan

SOALAN:
Khay4_me

Salam

Saya nak tanya satu peristiwa yg telah berlaku di satu tempat di Johor, bilamana satu majlis perkahwinan dimana akad nikah dilakukan di malaysia, tetapi pasangan pengantin lelaki & perempuan, dalam pada waktu yang sama berada diluar negara. Minta penjelasan daripada Ustaz.

terima kasih
Wassalam

****************
JAWAPAN:
albaruhiyy
Panel Feqh

Wassalam

Para ulama Islam memutuskan bahawa hukum perwakilan dalam akad nikah pada ijab dan qabul adalah sah dan harus. Kerana nabi s.a.w. pernah mewakilkan Amru bin Umayyah dan Aba Rafi’ menerima (qabul) nikahnya. Dan jua kerana hajat kepada demikian, kemungkina ia perlu kepada perkahwinan daripada jarak jauh yang sukar untuk musafir”.
[al-makmuj 14/97 dan al-Mughni 10/254]

Dalam hadis kisah perwakilan Abu Rafi, al-Shawkani berkata :

وفيه دليل على جواز التوكيل في عقد النكاح من الزوج
“Dan padanya dalil menunjukkan harus perwakilan dalam akad nikah daripada pihak lelaki”.

Rujuk Nayl al-Awtar, Kitab al-Wakalah, Bab ma yajuz al-tawkil fihi minal uqud

Wallahualam

Hukum Nafkah Zahir Kepada Isteri

Guest

salam

1]apakah hukum nafkah zahir?misalnya bagi rm300 sebulan

2]misalnya gaji suami sebulan rm1000 berapakah yg perlu diberi kpd isteri sebulan??

3]jika isteri gaji rm5000 dan suami gaji rm1000,perlukah suami tidak membayar nafkah zahir sbb isteri lagi kaya dari suami??


JAWAPAN:
Abu_Umair
Panel Feqh

بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

1 dan 2) Nafkah kepada isteri adalah salah satu kewajipan utama seorang suami. Kewajipannya sabit dalam Al-Quran, Sunnah dan ijmak ulama.

Nafkah bukanlah bermaksud memberi duit poket kepada isteri. Ia sebenarnya lebih luas mencakupi penyediaan tempat tinggal, makan minum, pakaian, dan perkara-perkara asasi dalam kehidupan.

Jadi, kadar nafkah tidak ada had tertentu ditetapkan oleh syarak. Ia bergantung kepada kemampuan suami dan uruf keperluan seorang isteri mengikut taraf masing-masing.

Kata Ibn Katsir dalam menafsirkan ayat 233 surah al-Baqarah, "Iaitu kadar nafkah kebiasaan wanita-wanita sepertinya di negeri-negeri mereka, tanpa berboros dan tanpa kedekut, mengikut kemampuannya (suami) pada keberadaannya, atau pertengahannya atau kesempitannya". (Tafsir Ibn Katsir 1/634).

3) Nafkah kepada isteri tidak dikhaskan kepada isteri yang susah. Malahan, ia wajib hatta terhadap isteri yang kaya atau yang berpendapatan.

Kata Syeikh Utsaimin, "Wajib ke atas seseorang mengeluarkan nafkah untuk keluarganya, iaitu isterinya dan anak-anaknya secara makruf. Hatta jika isteri seorang kaya, wajib juga atas suami memberi nafkahnya". (Syarah Riyadh al-Solihin 6/143).

Dan suami tidak berhak mengambil wang isterinya kecuali dengan keredhaannya sendiri.

Wallahu A'lam.

Batasan Ketaatan Isteri Kepada Suami

insan_mis3

Assalamualaikum

sambungan daripada link ni
http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=MDForum&file=viewtopic&t=38133&highlight=batasan


Batasan Isteri Berhias Utk Suami

insan_mis3

Assalamualaikum...

Saya nak bertanya tentang batasan isteri dalam berhias utk suaminya. Adakah segala-galanya boleh dilakukan oleh isteri sekiranya berniat utk suami. Cthnya adakah isteri boleh mencukur keningnya, bulu2 roma di tgn atau kaki, buat pembedahan buang lemak, mewarnakan rambut dengan bahan yang bukan inai (pewarna yang ada di pasaran) dan sebagainya. Atau adakah batasan2 yang boleh dan tak boleh...



al-jawhar
Panel Feqh

Salam

بسم الله، و الحمد لله، و الصلاة والسلام على رسول الله، وبعد

Secara kaedahnya , Isteri wajib mentaati suami dalam apa jua keadaan dan apa jua suruhan selagi mana ianya tidak bercanggah dengan perintah dan peraturan Allah swt.Ini kerana syurga isteri terletak diatas keredhaan suaminya sebagaimana maksud hadis Rasulullah saw :

“Apabila seorang isteri mengerjakan shalat yang lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, menjaga kemaluannya (menjaga kehormatannya) , dan taat kepada suaminya, niscaya ia akan masuk Surga dari pintu mana saja yang dikehendakinya”

[Hadits hasan shahih: Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban (no. 1296 al-Mawaarid)]

Walaubagaimana pun , ketaatan kepada suami tersebut bukanlah merupakan suatu ketaatan yang mutlak sehingga boleh mengenepikan perintah dan tuntutan syarak.Ini kerana , apabila berlaku pertembungan antara perintah dan suruhan suami dengan perintah dan ketetapan Allah ‘Azza Wajalla , maka si isteri WAJIB melaksanakan perntah dan tuntutan daripada Allah swt walaupun ianya bertentangan dengan kehendak suami berdasarkan sabda Rasulullah saw :

لا طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةِ اللَّهِ إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ

“Tidak ada ketaatan kepada perkara-perkara maksiat (ingkar) kepada Allah swt.Sesungguhnya ketaatan itu hanyalah pada perkara-perkara yang ma’ruf (baik).”

[Hadis riwayat Muslim : 3424]

WAN

Adakah isteri boleh:
i) Mencukur keningnya
ii) Mencukur bulu2 roma di tangan atau kaki
iii) Membuat pembedahan membuang lemak
iv) Mewarnakan rambut dengan bahan yang bukan inai (pewarna yang ada di pasaran) dan sebagainya.


JAWAPAN:
albaruhiyy
Panel Feqh

Bismillahirahmanirahim
Alhamdulillah wassolatuwassalam ala rasulillah..amma ba'd..

Ini jawapan yang dapat saya nukilkan kepada persoalan yang saudara ajukan :

i) Mencukur keningnya

Sebenarnya, ada perbezaan antara mencukur dan mencabut bulu kening.

Mencabut bulu kening termasuk dalam perbuatan al-nams [النمص] yang diharamkan Islam.

Nabi s.a.w. bersabda melalui riwayat Ibn Mas’ud :
“Allah melaknat wanita yang membuat tattoo dan meminta dibuat tattoo, yang mencabut bulu di wajah...."

Majoriti fuqaha’ mengatakan cabut bulu kening termasuk dalam al-nams.

Manakala masalah mencukur pula ada sedikit khilaf di kalangan ulama. Ulama mazhab Maliki dan Syafie mengatakan ia juga termasuk dalam larangan cabut bulu kening.

Cuma ulama Hanabilah mengharuskannya dan membataskan hukum haram hanya pada kes cabut bulu kening sahaja. [al-Insaf /126].

Sheikh Uthaimin berpendapat lebih baik anda meninggalkan perbuatan mencukur kening, kecuali sekiranya ia terlalu panjang dan mecacatkan wajah anda.

Maka bagi kami, lebih baik tidak dicukur bulu kening tambahan ia sudah menjadi budaya orang-orang fasiq serta orang-orang kafir pada hari ini. Adalah lebih baik membiarkan sahaja bulu kening kecuali ia tersangat panjang dan mencacatkan.

Lihat dalam :
http://islamqa.com/ar/ref/13259

ii) Mencukur bulu2 roma di tangan atau kaki

Dalam masalah ini saya bawakan fatwa ulama dalam islamqa.com.

Bulu pada tangan dan kaki termasuk dalam bulu yang tidak dinyatakan hukumnya dalam syariat. Mengikut kaedah :

ما سكت عنه الشرع فهو عفو
Ertinya : Apa yang didiamkan oleh syarak, maka ia dimaafkan.
Oleh itu ia tidak termasuk dalam jenis2 bulu yang diperintah mengekalkannya,.

Atas dasar ini para fuqaha’ berselisih pandangan. Sebahagian mengharamkannya kerana mencukur bulu roma tangan dan kaki menyebabkan pengubahan ciptaan Allah. Ini dilarang dalam al-Qur’an :

Maksudnya "Dan Demi sesungguhnya, Aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan Demi Sesungguhnya Aku akan memperdayakan mereka Dengan angan-angan kosong, dan Demi Sesungguhnya Aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang-binatang itu; dan Aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah". dan (ingatlah) sesiapa Yang mengambil Syaitan menjadi pemimpin Yang ditaati selain dari Allah, maka Sesungguhnya rugilah ia Dengan kerugian Yang terang nyata. [al-Nisa’ : 119].

Setengah ulama lain, mengharuskan cukur bulu roma tangan dan kaki dan juga harus mengekalkannya kerana ia termasuk dalam perkara yang tidak dinyatakan hukumnya oleh syarak. Sabda Nabi s.a.w ;

Maskudnya : “Halal ialah apa yang dihalalkan Allah dalam kitabNya dan Haram ialah apa yang diharamkan dalam ktabNya. Apa yang didiamkan tentangnya maka ia dimaafkan”. [al-Tirmizi 1726, dihukumkan hasan oleh al-Albani]

Pandangan kedua ini dipilih oleh Ahli Majlis Tetap Fatwa Arab Saudi dan Sheikh Uthaimin.

Lihat : [Fatawa alMar’ah al-Muslimah 3/879 dan Majmuk Fatawa Ibn Uthaimin 11/64].

Oleh itu, jika suaminya menyuruh supaya dicukur bulu roma tangan dan kaki, ia wajib melakukannya kecuali sekiranya ia memudaratkannya atau suaminya telah berpuas hati dengan sebab-sebab tidak mahu cukur yang dinyatakan oleh isterinya.

http://islamqa.com/ar/ref/14380

iii) Membuat pembedahan membuang lemak

Harus melakukan pembedahan membuang lemak jika ada keperluan, hajat dan darurat. Sepertimana seseorang itu terlalu gemuk dan memudaratkan.

Namun jika hanya semata-mata untuk kelihatan cantik sahaja dan lemak itu tidak memudaratkan maka ia tidak harus. Adalah lebih baik kita mencari alternative semulajadi untuk mengurangkan lemak seperti bersenam dan sebagainya. Ini kerana dibimbangi termasuk dalam mengubah ciptaan Allah Taala.

http://islamqa.com/ar/ref/121731

iv) Mewarnakan rambut dengan bahan yang bukan inai (pewarna yang ada di pasaran) dan sebagainya.

Ada riwayat daripada Nabi s.a.w. bahawa dilarang mewarnakan rambut dengan warna hitam.

Manakala warna lain, maka tiada riwayat larangan mewarnakannya.
Dalam isu ini, Sheikh Uthaimin r.h pernah ditanya tentang hukum wanita mewarnakan rambutnya dengan warna selain daripada hitam. Jawab Sheikh : “Asal hukum ialah harus melainkan ia sampai ke tahap tashabbuh (menyerupai) dengan orang-orang kafir, jahat dan fasiq. Maka jika da unsur menyerupai, ia adalah haram”. [Majmuk Fatawa al-Sheikh Ibn Uthaimin 11/120]

Di antara perkara yang perlu diingatkan ialah dalam perhiasan kita tidak boleh meniru gaya orang-orang kafir dan fasik. Sabda Nabi s.a.w. : “Barangsiapa yang meniru sesuatu kaum maka ia tergolong dari kalangan mereka” [Direkodkan Abu Daud 4031 dan ditashihkan oleh al-Albani].

Oleh itu, pada pandangan kami, suasana hari ini menunjukkan mewarnakan rambut adalah budaya orang-orang kafir dan fasik. Menjadi kewajipan kepada kita tidak mengikut budaya seperti itu,
Wallahualam

Jul 5, 2009

Seputar Hukum Anak Angkat

Guest

salam ustaz,

kes: satu pasang suami isteri yang sudah berumur, namun belum dikurniakan oleh Allah swt rezki cahaya mata. lalu mereka telah mengambil 2 orang anak angkat (seorang lelaki, dan seorang perempuan), yang mana kedua-dua anak tersebut tiada pertalian darah.

soalah: apakah batasan hukum-hukum yang berkaitan, yang perlu dipatuhi oleh pasangan tersebut, dan kedua anak-anak tersebut?

sekian, terima kasih,
wassalam


JAWAPAN:
Abu_Umair
Panel Feqh

بسم الله
والحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله وعلى آله وصحبه ومن والاه أما بعد

Boleh dirujuk jawapan Ust Zain-Ys:

SJ-12-0083 :Betul ke status mak angkat dan mak kandung sama?

SOALAN:
Boleh ahli panel shahkan terdapat atau tidak di dalam Al-Quran dan Al-hadis yang menyatakan bahawa status ibu angkat dan ibu kandung adalah sama (ada pihak mendakwa terdapat dalam al-quran yang menyatakan ianya sama) , memandangkan ibu angkat tadi yang membesarkannya dari kecil. Jika betul sama statusnya, apa akan jadi dgn hal2 yang berkaitan dgn mahram, pusaka dan sebagainya? Mohon penjelasan lanjut..

JAWAPAN:

Alhamdulillah, inilah jawapannya:

Ibu kandung tetap ibu kandung. Ibu angkat tidak dapat menggantikan kedudukan ibu kandung.

Ibu angkat yang dimaksudkan ialah yang memelihara seseorang dari bayi sehingga dewasa. Ibu angkat ini tetap sebagai wanita ajnabi dari segi hukum jika beliau bukan dari kalangan mahramnya. Dari sudut hukum sama seperti wanita-wanita ajnabi lainnya, samada aurat dsbnya. Tidak boleh mempusakai dsbnya.

Ibu angkat yang memelihara seseorang dari kecil hingga dewasa akan diberi ganjaran oleh Allah kerana kebaikan yang dilakukannya. Tambahan pula jika anak yang dididik itu lahir sebagai manusia yang soleh atau solehah.

Kesimpulannya:

Dari sudut hukum ibu angkat adalah seperti hukum wanita-wanita ajnabi lainnya, antaranya beliau halal dinikahi, tidak boleh mewarisi, aurat dan pergaulan.

zain y.s


Jadi, dalam kes yang saudara sebutkan, apabila kedua-dua anak angkat mereka baligh, hendaklah menjaga batasan aurat dan wajib mengelak daripada khulwah.

Begitu juga antara ayah angkat dengan anak angkat perempuan, dan ibu angkat dengan anak angkat lelaki. Mesti menjaga batasan aurat seperti orang-orang lain.

Bagi menyelelesaikan permasalahan ini, boleh kiranya kedua-dua anak angkat dijadikan sebagai keluarga susuan. Kalau pun ibu angkat tidak boleh menyusukan lagi, mereka boleh dijadikan anak susuan kepada adik-beradiknya, atau anak-anak saudaranya, jika ada yang sedang menyusu.

Jika dilakukan demikian ketika anak-anak angkat masih kecil (2 tahun ke bawah), maka batasan aurat adalah seperti mahram lain.

Wallahu A'lam.

Aurat Perempuan Tua

Guest

Salam

"Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti (dari haid dan mengandung) yang tiada ingin kawin (lagi), tiadalah atas mereka dosa menanggalkan pakaian mereka dengan tidak (bermaksud) menampakkan perhiasan, dan berlaku sopan adalah lebih baik bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (an-Nur: 60)

boleh sesiapa terangkan pada saya maksud ayat ini?adakah aurat bagi seorang perempuan tua berbeza banding dengan yang lain?


JAWAPAN:
al-jawhar
Panel Feqh

Salam

Untuk menjawab persoalan tersebut , kami rasa jawapan yang diberikan oleh Ustaz Farid Ravi Abdullah yang disiarkan dalam Utusan Malaysia bertarikh 13 Februari 2009 adalah memadai.

Berikut kami quotekan jawapan al-Fadhil Ustaz....

Aurat wanita putus haid

SOALAN
Saya ingin ustaz jelaskan maksud ayat 60, surah An-Nur yang bermaksud: Dan mana-mana perempuan tua yang telah putus kedatangan haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi maka tidak ada salahnya mereka menanggalkan pakaian luarnya, dengan tidak bertujuan mendedahkan perhiasan mereka; dalam pada itu perbuatan mereka menjaga kehormatannya (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu adalah) lebih baik bagi mereka; dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
(al-Nur: 60)

Adakah ini bermaksud wanita tua tidak diwajibkan bertutup kepala atau bertudung, kerana mereka sudah beruban dan tidak menarik lagi?

Mengikut pandangan Said bin Jubair dan Muqatil bin Hayyan, Al-Dohhak serta Qatadah: "Mereka (wanita) yang dimaksudkan oleh ayat ini ialah wanita yang sudah terputus haid dan tidak dapat melahirkan anak kerana usia yang lanjut (menopaus).

"Mereka juga tiada minat dan keinginan untuk berkahwin (tiada nafsu). Maka tiada halangan bagi mereka untuk membuka jilbab (penutup muka), serta membuka jubah berwarna hitam yang biasa disarung pada tubuh selepas memakai jubah bagi tujuan tidak memperlihatkan perhiasan dalaman". (Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-'Azim, jld:3, hlm: 404).

Dijelaskan lagi oleh Ibn Masud dan Mujahid: "Tiada perselisihan di kalangan para ulama mengenai rambut wanita tua, rambut wanita tua tetap tidak boleh dilihat oleh ajnabi (bukan mahram). Hukum berkaitan rambut adalah sama tiada bezanya antara yang perempuan tua dan muda.

"Maka yang diharuskan dalam ayat ini ialah wanita yang sudah tua harus baginya tidak menyelubung dengan kain hitam, dan kedua-dua tangan dan wajah harus dibuka. Ini kerana secara saintifiknya wanita tua tidak berkeinginan dan tidak menjadi perhatian orang lelaki". (Ibn al-'Arabiy, Ahkam al-Quran, jld:3, hlm:419).

Ibn al-'Arabiy melihat bahawa kalimah al-qawaaid yang membawa makna perempuan tua semata-mata tanpa yang lainnya kerana mereka tidak lagi bernafsu. Dalam tafsir al-Tabari, Ibn Jarir r.a menjelaskan bahawa: "wanita tua yang sudah tiada nafsu keinginan kepada hubungan jantina, ketika mana orang lelaki tidak lagi berminat kepada, maka diringankan kaedah menutup aurat keperingkat yang lebih mudah, tujuannya bagi meringankan bebenan yang mungkin memenatkan mereka. (Ibn Jarir al-Tabari, Tafsir al-Tabari).

Dalam ayat yang sama Allah SWT berfirman: Dengan tidak bertujuan mendedahkan perhiasan mereka, iaitu tidak mendedahkan serta memperlihatkan perhiasan supaya dia dilihat, kerana yang demikian ialah sangat buruk dan sangat jauh dari kebenaran.

Kesimpulannya, wanita yang sudah berumur atau yang sudah lanjut usianya wajib menutup aurat seperti mana wanita yang baligh belum sampai usia tua. Namun Islam memberi sedikit kelonggaran untuk tidak menyelubung badan dan segolongan ulama mengharuskan bagi wanita tua mendedahkan wajah dan kedua tangan. Walaupun demikian sekiranya wanita-wanita tua itu mahu menutup auratnya seperti wanita muda itu adalah lebih baik.

Ini kerana perbuatan menutup aurat bukan untuk sekadar mengawal diri dari terdedah kepada gangguan seksual malahan sebagai tanda tunduk dan patuh kepada kehendak Allah yang menjadi akan segala sesuatu.

Kita rasa pelik ialah wanita di negara kita kebiasaannya di usia remaja hingga menemui usia tua mendedahkan aurat semahu mereka, apabila sudah tua baru terasa dekat dengan Allah SWT.

Manakala syariat Islam melalui sumber rujukannya al-Quran dan al-Sunnah mewajibkan wanita menutup aurat apabila mencapai usia baligh. Dan tidak salah kalau lebih awal daripada itu sebagai satu tarbiah. Kerana ketika mudalah Allah SWT mengurniakan manusia keindahan paras rupa yang menawan, lebih-lebih lagi yang bergelar wanita.

Sebab itulah Allah SWT mengkategorikan wanita sebagai perhiasan dunia yang bisa memporak-perandakan kaum Adam. Dan ada pula wanita yang merasakan dirinya hebat kerana ramai lelaki yang tersungkur dengan kecantikannya.

Seperkara perlu diingat betul-betul iaitu Allah memberi kemudian diuji dengan apa yang diberi untuk melihat tabiat manusia. Adakah dia kenal siapa yang memberinya nikmat tersebut atau dia alpa dengan apa yang dia ada?

Sangat beruntunglah mereka yang sedar bahawa apa yang dimilikinya adalah pinjaman dan setiap yang dipinjamkan perlu dipulangkan kepada tuannya.

WA

Sumber :

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_06.htm

Hukum Wanita Menyanyi Koir

mr_al

Assalamualaikum.

Soalan saya seperti berikut:

1) Hukum perempuan menyanyikan lagu koir patriotik di khalayak ramai.

2) Hukum hadirin berdiri sebagai tanda hormat apabila VIP sampai ke sesuatu majlis. ( cth: hadirin diminta berdiri apabila menteri masuk ke dalam dewan majlis).

Sekian, terima kasih. Yellow Confused


JAWAPAN:
al-jawhar
Panel Feqh

Salam

بسم الله، و الحمد لله، و الصلاة والسلام على رسول الله، وبعد

Hukum wanita menyanyikan lagu dan apa sahaja bentuk nyanyiian di khalayak ramai yang mana para pendengarnya sudah tentu terdiri dari kalangan lelaki yang bukan mahram adalah jelas iaitu tidak dibolehkan.

Ini kerana para ulama mengatakan bahawa suara wanita yang dilagukan atau dimerdukan adalah termasuk dalam perkara-perkara kecantikan yang tidak boleh dipertonton dan diperdengarkan kepada lelaki yang bukan mahramnya.Dengan sebab itulah wanita-wanita juga tidak boleh melunak dan memerdukan suaranya apabila bercakap atau berkomunikasi dengan lelaki yang mana ianya boleh membangkitkan syahwat dan rasa ghairah lelaki kepada wanita tersebut.

Firman Allah swt :

يَا نِسَاءَ النَّبِيِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِنَ النِّسَاءِ إِنِ اتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَعْرُوفًا

Hai isteri-isteri Nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa maka janganlah kamu merendahkan (melembutkan) suaramu sehingga berkeinginan orang yang berpenyakit di hatinya berbuat jahat kepadamu, maka bercakaplah hanya dengan kata-kata yang baik (kandungan dan tatacaranya)"

[Al-Ahzab : 32]

Berdasarkan ayat di atas , maka suara wanita yang sengaja dilembutkan dan dimerdukan serta dimanjakan , hukumnya adalah tidak boleh diperdengarkan kepada khalayak lelaki apatah lagi jika ianya boleh membawa kepada fitnah dan membangkitkan nafsu.

Imam Qurtubi menyebut bahawa , kerana suara tersebut akan menjadikan orang-orang lelaki munafiq dan ahli maksiat berfikir jahat

WA

Ruj :
Adwa al-Bayan, 5/10
Tafsir At-Tabari ; 3/22
Tafsir Ibn Kathir, 3/483 ; Al-Jami' Li Ahkam Al-Quran, 14/177

Kawin Anak Hasil Zina

jihad4u

Benarkah Imam Syafie membenarkan seorang bapa boleh mengahwini anak hasil zinanya??

Sekiranya ya? apakah dalilnya dan adakah ulama mazhab yang lain bersepakat dgn fatwa ni..

harap somebody dpt memjawab kerana ini solan dari Syiah rawafidh..semoga soalan ni dpat dijawb dgn baik..


JAWAPAN:
izrail

Bismillah
Wassolatu wassalam 'ala Rasulillah SAW,

Jumhur Ulama berpendapat seorang penzina tidak boleh mengahwini anak hasil zinanya.

Berkata Imam Syafie:

وَأَكْرَهُ لَهُ فِي الْوَرَعِ أَنْ يَنْكِحَ بَنَاتِ الَّذِي وَلَدَهُ مِنْ زِنًا

" Aku tidak menyukai (makruh dalam warak) baginya berkahwin dengan anak-anak perempuan yang dilahirkan hasil zinanya " (kitab al-Umm: 5/30)

Sebahagian Ulama Syafie menjelaskan, Imam Syafie memberikan hukum makruh jika ada kemungkinan anak itu bukan hasil dari benih penzina tersebut. Tetapi jika telah dipastikan benihnya maka haram baginya berkahwin dengan anak itu. (al-Hawi al-Kabir, al-Muhazzab & syarahnya, Mughni al-Muhtaj)

Ini dikuatkan dengan kenyataan Imam Muzani yang merupakan anak murid Imam Syafie selepas membawa kata-kata beliau di atas:

وَقَدْ كَانَ أَنْكَرَ عَلَى مَنْ قَالَ : يَتَزَوَّجُ ابْنَتَهُ مِنْ زِنًا

" Dan beliau pernah mengingkari kata-kata orang yang membenarkan seorang penzina mengahwini anak hasil zinanya ". (Mukhtasar al-Muzani: 228).

Kesimpulan: Imam Syafie tidak menyukai dan mengingkari pendapat yang membenarkan penzina mengahwini anak hasil zinanya.

Wallahu a3lam

Sifat Mani Wanita

anakMINANG04

Salam

Moga kita dirahmati Allah,

Merujuk kepada persoalan dan jawapan di
SJ-08-0032 : Asmaradana Di Siang Ramadhan [rating 18SX]
Soalan3) bagaimana hukum puasa si isteri dan suami jika keluar air dari kemaluan semasa berasmaradana (muqaddimah persetubuhan)??

Jawapan
3) jika hasil dari mubasyarah (foreplay) itu mengeluarkan mazi, maka puasanya tidak apa-apa. jika keluar mani, maka yang keluar mani itu telah batal puasanya. Ini kerana keluar mani membatalkan puasa (Imam Nawawi, ibid)

Persoalannya...

1) Bagaimanakah yang dikatakan air mani wanita???...adakah pada keghairahannya???

2) Jika air mani wanita itu ada atau terkeluar....sudah pasti puasanya batal....adakah wanita atau isteri tersebut kena kaffarah puasanya atau sekadar qadha puasa jer???sbb tak berlaku persetubuhan hanya muqaddimah jer...

Mohon pencerahan

JAWAPAN:
Abu_Umair
Panel Feqh

بسم الله
والصلاة والسلام على رسول الله وبعد


1) Bagaimanakah yang dikatakan air mani wanita???...adakah pada keghairahannya???

Ulama menyebut ciri-ciri mani, iaitu yg ada salah satu daripada tiga;
1) bau yg kurang enak. masa cair, baunya seperti tepung diuli, dan masa kering baunya spt putih telur.
2) keluar dengan memancut.
3) keluar dengan syahwat, dan selepas itu badan terasa lemah.

(bagi yg wanita: agak cair dan warnanya kekuningan).

Dinukilkan daripada kebanyakan ulama ketiga2 sifat di atas adalah pada mani lelaki dan juga wanita. dan ada fuqaha yg kata: mani wanita hanya dikenali dengan ciri no: 3 sahaja.

rujukan: Fathul Aziz 2/121, majmuk nawawi 2/141, syarah mumti' Uthaimin 1/277-278.


2) Jika air mani wanita itu ada atau terkeluar....sudah pasti puasanya batal..


jika terkeluar mani samada lelaki atau wanita dengan cara mubasyarah, maka batal puasa. ini pendapat keempat2 mazhab. Dalilnya:

1) Ada hadis sahih menyebut ttg puasa, iaitu: "Meninggalkan makanannya, minumannya, dan syahwatnya kerana Aku (Allah)". Bukhari 2/670.

2) Qiyas kepada muntah dengan sengaja. sebagaimana muntah melemahkan badan kerana makanan keluar, begitu juga mani melemahkan badan apabila keluar. maka sengaja mengeluarkannya membatalkan puasa.

-diceduk drpd syarah syeikh muhammad al-syanqiti hafizahullah.


adakah wanita atau isteri tersebut kena kaffarah puasanya atau sekadar qadha puasa jer???sbb tak berlaku persetubuhan hanya muqaddimah jer...

Kaffarah hanya dikenakan dalam permasalahan jimak. manakala mubasyarah, dan seumpamanya TIDAK mewajibkan kaffarah sekalipun sehingga keluar mani.

Kecuali anda memilih pandangan yg mewajibkan kaffarah jika berbuka puasa dengan apa cara sekalipun, hatta makan dan minum.

Lelaki Yang Menolong Wanita Yang Ada Masalah Rumahtangga

roseismawar

assalamualaikum,

Bolehkah seorang lelaki menolong wanita(isteri orang) yang ada masalah rumahtangga dengan suaminya dengan cara berchatting, bersms dan bertelefon? dalam niatnya yang ingin menolong itu, bolehkah dia juga turut bertukar2 gambar dengan wanita tadi? suami wanita tadi seorang yang kuat cemburu, menyebabkan dia juga menipu suaminya tentang hubungannya dengan si lelaki yang ingin menolong tadi, begitu juga si lelaki turut menipu isterinya kerana mahu menjaga hati isterinya agar tidak cemburu hubungannya dengan wanita tersebut. adakah niat lelaki tadi membolehkan dia meneruskan persahabatn dengan wanita tersebut? atau adakah cara lain untuk menolong wanita tadi?contoh yang si lelaki tolong ialah bagi nasihat, bertanya khabar, bagi sokongan,berkongsi sikit2 masalah dan tip rumahtangga. tapi sekiranya si wanita tadi bercerai dengan suaminya, dia juga ada keinginan untuk mengahwini wanita tersebut.

mohon penjelasan dari ustaz.


JAWAPAN:

Abu_syu'aib
Panel Feqh

بسم الله والصلاة والسلام على رسول الله وبعد

Kepada yang bertanya, Nasihat saya kepada permasalahan seperti ini pertama takutlah kepada Allah s.w.t. apabila perasaan takut itu ada maka dia tidak akan mendekati sesuatu perkara yang tidak memberi manfaat kepadanya atau menjauhkan perkara yang boleh memberi mudarat kepada dirinya sendiri.

Kedua: Membantu orang lain suatu perkara yang mulia disisi agama. tetapi ianya menjadi suatu dosa sekiranya ada perkara-perkara yang tidak sepatutnya dia lakukan.

إنما الأعمال بالنيات، وإنما لكل امرء ما نوى

Setiap perbuatan itu dengan niat, dan setiap seseorang itu dikira dengan apa yang diniatkan.

Jika pertolongan berniat kerana Allah maka ia diganjari dan sebaliknya jika kerana yang lain, dia akan dapat apa yang diniatkannya.

dalam kes yang diceritakan di atas matlamatnya bagus tetapi caranya telah menyimpang dari jalan yang sebenar. maka secara ringkasnya

1- mengapa si wanita tersebut tidak mendapatkan nasihat dari pihak yang sepatutnya (kawan-kawan dan sahabt wanita, kaunselor dan sebagainya)?

2- apa perlunya wanita tersebut memberikan gambar, bersms dan bertelefon? maksudnya dia telah melebihi keperluan yang dia kehendaki.

3- tidakkah dia memikirkan kerana perbuatannya itu boleh mengundang perkara-perkara yang tidak diingininya oleh kerana dia telah mengetahui suaminya yang kuat cemburu?

4- Tidakkah dia juga memikirkan bahawa lelaki tersebut juga telah mempunyai isteri. kerana dia sebagai seorang wanita sekiranya suaminya melakukan perkara yang sama kepada perempuan lain tentu sahaja dia tidak menyukainya.

5- kesemua ini berlaku kerana anda sendiri telah memberikan jawapannya diakhir soalan anda...sekiranya wanita tadi diceraikan oleh suaminya maka si lelaki tersebut berkeinginan untuk mengahwininya...

inilah penyakit dalam masyarakat kita, yang mana Islam telah melarang dengan secara serius IHKTILAT dikalangan lelaki dan perempuan. oleh kerana manusia ini degil dengan apa yang telah ditetapkan oleh ALLAH berlaku lah apa yang telah berlaku.

Tetapi masyarakat kita jika kita membangkitkan isu IHKTILAT ini (percampuran lelaki dan wanita) maka dituduh kita ini kolot, tidak berpijak pada realiti..tetapi apa yang telah ditentukan ISLAM itulah penawar kepada masalah yang berlaku.

Kesimpulannya Perbuatan wanita dan lelaki tersebut yang pada mulanya untuk menasihat dan meminta nasihat akhirnya mengundang kepada perbuatan yang jelas HARAM disisi syariat iaitu melakukan chatting, sms dan bertelefon dan sehingga tahap meminta gambar wanita, sedangkan wanita tersebut merupakan isteri kepada orang lain.

WAHAI PARA WANITA ketahuilah HIJAB bukan sekadar memakai tudung dan menutup aurat dihadapan lelaki yang bukan Mahram kemudian anda boleh buat apa yang anda suka dengan bersembang dan bergelak ketawa tanpa faedah dihadapan lelaki yang bukan Mahram . sebab itu diantara maksud HIJAB ialah wanita duduk di dalam rumahnya, maksudnya tidak berhubung dengan lelaki lain yang bukan mahram dengan sesuka hati tanpa batasan.

kemudian wanita tadi telah berdosa kepada suaminya kerana berhubung dengan lelaki lain dengan bersms, berchatting, bertelefon, memberi gambar kepada lelaki lain walaupun alasannya untuk meminta nasihat.....

ingatlah SYAITAN sentiasa berada disisi anak ADAM dan menusup masuk kedalam setiap perbuatan dan tindakannya.

Akhirnya KEMBALILAH KEPADA PENGAJRAN AL-QURAN DAN SUNNAH NABI S.A.W.

wallahu a'lam