Jan 21, 2009

Lafaz Kinayah

Assalamu'alaikum ustaz,

ana ada keraguan berkenaan masalah lafaz cerai kinayah.

ada sedara hari tu, isteri dia datang dekat kat dia....sebab mungkin isteri dia ada berpeluh dia cakap kat isteri dia "busuk awak ni". lepas tu dia kata tengah dia cakap tu tak tau camner tertiba ada macam lintasan cerai.

Dia kata tak tau mungkin setan bisik ke atau dia sendiri yang terlintas macam tu. Sebelum dia nak cakap tu dia takde pun niat macam tu, cuma masa nak cakap tu tetiba lintas macam tu.

Dia ragu-ragu lah sama ada cerai ke tak. ana cakap kalau ragu-ragu anggaplah tak cerai, sebab memanglah dia takmau cerai, sebab lintasan dalam hati tu belum tentu benda tu kita nak, mungkin kita tolak perkara yang lintasan dalam hati tu. betul ke jawap saya ustaz? lagi satu, adakan kalimah busuk tu cukup kuat untuk dikategorikan dengan kinayah? minta ustaz tolong huraikan. wassalam.

*****************
wa'alaikumussalam

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab keraguan sdr Karim dengan kadar yang termampu, Insyaallah.

Lafaz cerai kinayah (sindiran - hinting) ini memerlukan NIAT. Sebagaimana contoh, Shiekh Abdul Aziz Ibn Baaz[2] telah ditanya oleh seseorang yang telah berkata kepada isterinya beberapa kali, "Aku tidak mahu kepada kamu". {أنا لا أريدك }, Kata Sheikh :

هذا الكلام لا يكون طلاقاً إذا كان بدون نيّة ، فهذا كناية وليس بطلاق ، وزوجته باقية في عصمته ، وليس عليه شيء .

"Perkataan ini tidak dikira bercerai TANPA disertakan dengan NIAT, maka ini hanyalah kinayah (hint) dan bukannya Talaq, Isterinya masih isterinya, ia tidak perlu melakukan apa-apa"

Bagaimana pula jika timbul keinginan didalam hati untuk menceraikan?

Cerai belum berlaku selama suami tidak melafazkan talaq, kerana NIAT sahaja tidak mencukupi menjatuhkan talaq. Ini adalah pandangan jumhur ulama, sebagaimana yang dinyatakan oleh Al-Hafiz didala al-Fath (9/34), dan di petik oleh Ibn Qudaamah didalam al-Mughni (7/21). Petikan ini berdasarkan kepada Hadith Nabi saw yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari (no:2528) dan Muslim (no:327):

عن أبي هريرة رضي الله عنه قال : قال رسول الله صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " إن الله تجاوز عن أمتي ما حدثت به نفسها ما لم تعمل أو تتكلم "

"Dari Abu Hurairah ra. telah berkata : Rasulullah saw bersabda :'Allah mengampunkan umatku bagi apa yang terlintas difikiran mereka, selama-mana mereka tidak melakukan atau mengucapkan"

Berkata Qutaadah, salah seorang perawi hadith ini :

إذا طلق في نفسه فليس بشيء

"Jika ia mengeluarkan kata TALAQ pada dirinya sendiri(tanpa mengeluarkannya), ia tidak bermakna apa-apa"

Kami kira, kalimah "cukup busuk" itu tafsirkan didalam penghidupan seharian, ia hanya bermakna "tidak bersih", atau mempunyai makna-makna lain dan tafsiran yang tersendiri, tidak langsung menunjukkan tujuan 'tidak mahukan siIsteri lagi'. Lafaz-lafaz kinayah seperti : Pergilah kau dari sini, Aku tidak perlukan kau lagi, Pergilah ikut sukahati engkau [2] dan sebagainya merupakan sindiran atau kinayah kepada makna cerai/talaq.

Kesimpulannya ialah lafaz kinayah talaq hanya berlaku (valid) jika ia disertakan dengan niat untuk menceraikannya, dan lintasan didalam hati atau waswas tidaklah dikira sebagai talaq.

----------
Rujukan :

1. Sheikh Abdul Aziz bin Baaz. Fataawa al-Talaaq. ms. 68.

2. Dr. Mustafa Al-Bugho, [etc]. Al-Fiqhu Al-Manhaji. cetakan ke 4. Damsyik : Dar Al-Qalam, 2000. ms 118.

***************************
A'kum Ustaz,

Saya ingin bertanya adakah sah lafaz kinayah jika niat bukan semasa lafaz.. samaada niat sebelum lafaz dimana semasa lafaz kinayah tersebut niat nya adalah lain.

*****************
Wa'alaikumussalam

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjelaskan isu niat dialam lafaz kinayah yang kadar kemampuan yang ada, Insyaallah.

Dr Mustafa Al-Bugho didalam buku Al-Fiqh Al-Manhaji mengatakan bahawa :- "Lafaz Kinayah - terdapat perkataan masyhur didalam percakapan orang mengenai cerai - seperti mengatakan keatas isterinya , Keatas kamu diharamkan! - Maka :

فلا يقع الطلاق بها إلا إذا قصد بها الزوج الطلاق. فإذا قصد بها شيئا آخر غير الطلاق، أو لم يقصد بها شيئا، لم يقع بها شيء.

"tidak akan jatuh talaq denganya melainkan jika QASAD kan kepada isterinya talaq. Maka jika ia bermaksud(qasad) perkara lain selain talaq, atau ia tidak qasad dengannya apa-apa, maka tidalah ia boleh dikatkan dengan apa-apa [yang terjadi]"

Dengan kata lain, lafaz kinayah yang tidak disertai dengan qasad untuk menceraikan isterinya, tidak dikira sebagai talaq.

---------------
Niat didalam sesuatu perbuatan ibadat bukan sahaja lintasan yang lalu didalam hati, ia disertai dengan qasad untuk melakukannya.

1. Niat itu merupakan satu keazaman untuk melakukan

Definisi niat menurut syara' ialah :-

العزم على فعل العبادة تقربا إلى الله تعالى

"Berazam melakukan sesuatu ibadat bagi mendekat diri dengan Allah"

Ini membawa dua maksud :

- Niat melakukan perbuatan tersebut (نية العمل )
- Niat kepada siapa perbuatan ini dilakukan (نية المعمول له )

Dengan kata lain, sebelum ia melakukan lafaz cerai secara kinayah, dia telah mempunyai azam yang kuat untuk menceraikannya.

2. Niat itu terbentuk apabila dia tahu apa yang dilakukan

Berkata Sheikh Al-Islam Ibnu Taimiyah mengenai Niat :-

وذلك أن النية تتبع العلم ، فمتى علم العبد ما يفعل كان قد نواه ضرورة ، فلا يتصور مع وجود العلم به أن لا تحصل نية ،

"Niat dikaitkan dengan pengetahuan. Jika seseorang itu tahu apa yang ia lakukan maka sudah tentu telah terbentuk niat. Tidaklah dapat dibayangkan bahawa dia tahu apa yang dia lakukan, akan tetapi ia tidak membentuk niat?"

-----------
Tidak mungkin qasad niat itu berubah-ubah dengan sekelip mata. Apa yang berlaku kemungkinan besar (jika berlaku teragak-agak) ialah :-

1. Lintasan hati, dan ini tidak dikira sebagai niat. Dimana hadith dari Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa Nabi saw bersabda :-

إن الله تجاوز عن أمتي ما حدثت به نفسها ما لم تعمل أو تتكلم

"Allah mengampunkan umatku bagi apa yang terlintas difikiran mereka, selama-mana mereka tidak melakukan atau mengucapkan"

2. Waswas, dimana ulama' mengatakan satu penyakit diluar kawalan. Berkata Sheikh Ibn Utsaimin menegani isu ini :-

المبتلى بالوسواس لا يقع طلاقه حتى لو تلفظ به بلسانه إذا لم يكن عن قصد ، لأن هذا اللفظ باللسان يقع من الموسوس من غير قصد ولا إرادة ، بل هو مغلق عليه ومكره عليه لقوة الدافع وقلة المانع ، وقد قال النبي صلى الله عليه وسلم : " لا طلاق في إغلاق " . فلا يقع منه طلاق إذا لم يرده إرادة حقيقية بطمأنينة ، فهذا الشيء الذي يكون مرغما عليه بغير قصد ولا اختيار فإنه لا يقع به طلاق.

"Talaq bagi seeorang yang menghadapi penyakit waswas tidak dikira walaupun ia mengucapkannya, jika ia tidak melakukan dengan sengaja, kerana mengucapan ini berlaku akibat waswas, dan bukan dengan kehendak atau Niat. Ia telah dipaksa keatasnya oleh kerana kekuatan waswas tersebut dan kurangnya kawalan fikirannya. Nabi saw bersabda :'Tiada Talaq kerana paksaan'. Maka talaq ini tidak dikira kerana dia sebenarnya tidak mahu melakukannya. Ini adalah sesuatu yang dipaksa keatasnya tanpa niat atau pilihan dari pihaknya, maka ini tidak bermakna Talaq telah berlaku".

wallahu'alam, wassalam

-------------
Rujukan :

1. Dr. Mustafa Al-Bugho, [etc]. Al-Fiqhu Al-Manhaji. cetakan ke 4. Damsyik : Dar Al-Qalam, 2000. ms 118.

2. Sheikh Al-Islam Ibnu Taimiyah. Al-Fatawa Al-Kubra - 1. Riyad : dar Al-Ma'arifah, 199?. ms 214-215

3. Shiekh Muhammad bin Abdul Aziz al-Musnad. Fataawa Islamiyyah

5 comments:

Anonymous said...

assalamualaikum ustaz.. semasa bergaduh melalui sms suami marah dan berkata 'nak cerai kut' dekat saya....kmudian saya ragu2 dan tnya suami 'kiranya ni dah jatuh talak ka' dan suami bls kata 'dah'... saya nak tanya ustaz adakah ini dikira saya sudah bercerai? kalau ya apa yg perlu kami buat kerana suami tiada niat berkata begitu? harap ustaz dapat membantu

Anonymous said...

Assalamualaikum ustaz! seorang hamba Allah ini sangat fobia dengan lafaz2 yang menhjurus kepada lafaz kinayah. satu hari dia menyebuat satu lafaz yang dia rasakan menjurus kepada lafaz kinayah, lalu dia cuba bertenang dan cuba mengawal fikirannya agar tidak terlintas cerai. Tapi seoalah-olah dia gagal apabila muncul juga seperti lintasan cerai. Bagaimanakah situasi hamba Allah tersebut.

ZUHIR said...

Assalamualaikum ustaz! bolehkah saya bertemu panel yang menjawab soalan di atas.

Anonymous said...

Pencerahan mengenai perbezaan antara niat dan lintasan hati banyak membantu dalam menghilangkan keraguan mengenai masalah ini. Terima Kasih Ustaz.

Saya rasa ini sebenarnya punca ramai yang ragu ragu dengan apa yang mereka ucakpan.

Unknown said...

Salam Ustaz, ketika bertengkar maka si isteri berkata "saya nak balik rumah mak", maka si suami dalam keadaan marah berkata "pi lah balik... aku pun tak mau dah? Adakah jatuh talak? Terima kasih.

Post a Comment